Artikel sebelum ini, saya telah kongsikan penerangan serba ringkas tentang proses pembentukan peribadi manusia melalui rukun iman, rukun Islam dan ihsan. Dengan itu jelaslah bahawa puasa (salah satu daripada rukun Islam) adalah suatu proses.
Ia adalah proses latihan untuk ‘mengurus’ atau mengawal hawa nafsu yang menjadi musuh dalam diri manusia.
Allah SWT berfirman yang bermaksud:-
“Sesungguhnya nafsu itu sangat mengajak manusia kepada kejahatan.”Surah Yusuf 12:53
Puasa Itu Proses Latihan
Jadi, istilah saum (puasa) itu bererti ‘menahan’. Ertinya, orang yang berpuasa ialah orang yang menahan hawa nafsunya. Hanya apabila seseorang mampu ‘menahan’, maka barulah ia boleh mengawal hawa nafsunya.
Puasa umpama brek pada sebuah kereta. Hanya kereta yang mempunyai brek yang berada dalam keadaan yang baik sahaja boleh dikawal dan dipandu dengan selamat. Maka begitu juga dengan puasa pada diri seseorang Muslim.
Ia umpama brek yang mengawal kehidupannya agar tidak melanggar hukum Allah SWT dan terjerumus ke jurang dosa.
Ada hadith yang meriwayatkan bahawa syaitan ‘dirantai’ pada bulan Ramadhan. Pada masa yang sama juga, kita dilarang makan dan minum dalam tempoh beberapa jam. Berdasarkan logik, nafsu sepatutnya sudah lemah.
Bukan sahaja sumber ‘kekuatannya’ disekat malah ‘mentor’nya juga (syaitan) telah dirantai. Tetapi mengapa masih banyak kejahatan yang dibuat oleh orang Islam termasuk pada bulan puasa?
Ini disebabkan proses ‘menyempitkan’ saluran darah (yang merupakan ‘highway’ syaitan) tidak tercapai sepenuhnya. Nafsu yang diempang pada siang hari bulan Ramadhan telah ‘mengamuk’ sebaik sahaja masuk waktu berbuka puasa.
Dengan berbuka secara membazir, gelojoh dan banyak, nafsu bukanlah ditahan sebaliknya cuma diempang buat seketika dan diledakkan semula semahu-mahunya semasa dan selepas berbuka puasa nanti.
Jadi tidak hairanlah kalau nafsu bukan semakin lemah tetapi semakin kuat pada bulan Ramadhan ini!
Kalau begitu, matlamat latihan dalam proses mengawal hawa nafsu telah gagal.
Cuba kita renungkan latihan mengawal nafsu pada bulan puasa....bukankah semua perkara dan perlakuan yang ‘ditahan’ (diharamkan) semasa kita berpuasa hakikat bebas (dihalalkan) sewaktu tidak berpuasa?
Semasa berpuasa, umat Islam bukan sahaja dilatih meninggalkan perkara-perkara yang haram, malah perkara yang halal juga. Ini juga satu latihan yang berat dan intensif dalam jangka masa sebulan.
Oleh sebab itu, sewajarnya tidak timbul masalah bagi kita meninggalkan perkara-perkara yang diharamkan pada bulan-bulan lain hasil latihan meninggalkan perkara-perkara yang halal pada bulan Ramadhan.
Ironinya, ini tidak berlaku. Pelbagai perbuatan haram terus dilakukan oleh umat Islam selepas Ramadhan berlalu.
Mengapa?
Ini kerana puasa tidak dianggap sebagai suatu proses latihan tetapi hanya amalan ritual atau adat yang bermusim sifatnya.
Padahal puasa mempunyai pakej latihan yang bersepadu. Antaranya, berlapar, bangun malam, membaca al-Quran, bersedekah, beriktikaf di dalam masjid dan lain-lain lagi. Jika semua pakej latihan ini dilaksanakan dengan betul, barulah puasa akan melahirkan taqwa.
Soalnya, mengapa puasa tidak berjaya melahirkan taqwa?
Dua faktor utama penyebabnya ialah:-
- Niat yang tersasar
- Perlaksanaannya tidak menepati sunnah
Niat Puasa yang Tersasar
Apakah yang dimaksudkan dengan input dalam kita berpuasa?
Maksudnya, kita berpuasa atas dasar apa?
Adakah kerana kesihatan, pahala ataupun kebiasaan?
Allah SWT berfirman yang bermaksud:-
“Wahai orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang sebelum kamu, agar kamu bertaqwa.”Surah al-Baqarah 2:183
Melihat awal ayat ini – ‘wahai orang yang beriman’, fahamlah kita bahawa puasa mesti dilaksanakan atas dasar iman kepada Allah SWT. Justeru, niat berpuasa mestilah ‘kerana Allah’. Malangnya, ramai umat Islam mengerjakan puasa bukan atas dasar iman lagi.
Kadangkala puasa lebih didorong oleh tujuan untuk mendapat hikmah di sebaliknya.
Antara hikmah puasa adalah seseorang itu akan mendapat kesihatan yang baik, mengurangkan berat badan, membantu pengurusan masa, limpahan rezeki dan lain-lain lagi. Tidak salah mengharapkan hikmah-hikmah itu tetapi itu bukanlah tujuan utama kita berpuasa.
Niat kerana Allah SWT hendaklah diutamakan. Jangan sampai tersasar untuk mendapatkan hikmahnya.
Ada pula yang terlalu fokus memburu fadhilat Ramadhan (kelebihan berpuasa) sehinggakan fadhilat itu mendasari niat berpuasa.
Fadhilat seyogianya tidak menjadi dasar sesuatu ibadah kerana ia hanya bersifat galakan dan insentif sahaja.
Sedangkan puasa yang berkesan mestilah dibuat atas dasar rasa kehambaan kepada Allah SWT.
Sewajarnya seorang hamba mematuhi perintah Allah SWT sama ada melihat ganjaran atau tidak.
Selain itu juga, ramai yang berpuasa kerana adat semata-mata, bukan ibadat.
Mereka tidak tahu matlamat berpuasa, perlaksanaannya yang perlu menepati sunnah dan hukum serta hikmah disebaliknya.
Mereka berpuasa kerana semua orang disekelilingnya juga berpuasa, satu amalan yang diwarisi daripada nenek moyang lagi.
Justeru, ada yang beranggapan Ramadhan ialah ‘pesta makan’ (bukan pesta ibadah) kerana berpeluang untuk menikmati sajian-sajian lazat. Ada pula yang gembira kerana peluang untuk berniaga dan mendapat keuntungan yang lebih banyak daripada bulan-bulan biasa.
Tegasnya, niat berpuasa hanya kerana hal-hal berkaitan dengan ‘keduniaan’, bukan lagi kerana Allah SWT.
Kesan (Output) Puasa
Hasil berpuasa adalah taqwa.
Dari segi istilah, taqwa bererti waqa (berhati-hati) atau wiqayah (pencegahan). Orang yang bertaqwa ialah mereka yang sentiasa berhati-hati dan mencegah dirinya daripada melanggar hukum Allah SWT lahir dan batin.
‘Semoga kamu menjadi orang yang bertaqwa’ pada akhir ayat surah al-Baqarah ayat 183 itu umpama buah yang diharapkan terhasil daripada pohon yang baik dan pohon yang baik itu pula berasal daripada biji benih yang baik.
Jadi bolehlah dirumuskan bahawa puasa mestilah dibina atas input yang jelas (benih yang baik), prosesnya yang tepat (pohon yang subur) dan lahirnya melahirkan output yang baik (buah yang enak) iaitu taqwa.
Taqwa dapat dikesan melalui dua bentuk berikut:-
- Peningkatan akhlak (hubungan dengan manusia)
- Peningkatan kualiti kerja, peranan atau tanggungjawab (hubungan dengan pekerjaan)
Jika akhlak masih rendah, kualiti kerja dan rasa bertanggungjawab masih lemah. Itu petanda taqwa masih rapuh.
Kenapa taqwa masih rapuh? Jawabnya, kerana puasa tidak berkesan.
Kenapa puasa tidak berkesan? Sebab ia sama ada tidak dilaksanakan bukan atas dasar iman (inputnya tidak jelas) ataupun prosesnya tidak baik (tidak menepati syariat lahir dan batin).
Kesannya? Nafsu masih buas walaupun setelah sebulan berlapar dahaga. Fikiran masih kotor walaupun telah tamat 30 juzuk bertadarus. Hati masih tamak walaupun telah bersedekah, beriktikaf dan qiyamulalil.
Sayang sekali puasa tidak lagi menjadi ‘pusat latihan’ umat ini kerana kebanyakan kita menjalani puasa tanpa kesedaran, kefahaman dan penghayatan yang tinggi.
Allah SWT memberikan sesuatu yang lebih tinggi dan mahal harganya di sebalik puasa, tetapi kita sebagai manusia masih leka dengan sesuatu yang rendah dan murah nilainya.
Ya, ‘what you see is what you get’. Puasa umpama laut yang luas dan dalam. Ada yang melihat sampah dan buih di atas permukaannya. Ada yang melihat ikan dan hasil laut di dalamnya. Namun ada yang mampu melihat ‘emas hitam’ (petroleum) di dasarnya.
Kesan puasa tidak sama pada semua orang. Ia bergantung kepada cara kita melihatnya, tahap kita berusaha dan kemampuan menahan keperitan untuk mendapatkan rahmat, maghfirah dan keberkatannya.
Andainya Ramadhan kali ini adalah Ramadhan yang terakhir buat kita, kerana belum tentu kita akan hidup lagi pada Ramadhan yang akan datang....apakah kita tega untuk terus berpuasa tanpa mendapat taqwa?
Lalu layakkah kita berhari raya dengan tangan kosong?
Sedangkan taqwa adalah sebaik-baik pakaian dan perhiasan di alam dunia.
Allah SWT berfirman yang bermaksud:-
“Dan sebaik-baik pakaian adalah taqwa.”Surah al-A'raf 7:26
Dan taqwa juga sebaik-baik bekalan menuju ke syurga.
Allah SWT berfirman yang bermaksud:-
“Hendaklah kamu berbekal dan sebaik-baik bekalan ialah taqwa.”Surah al-Baqarah 2:197
Ya, moga-moga kita mendapat taqwa – hadiah yang dijanjikan Allah SWT sejak lama. Bukan ‘lapar dan dahaga’ sahaja seperti yang diterima sejak sekian lama!
Wallahua'lam
Blogger Comment
Facebook Comment