Rokok: Haram Atau Harus?

Sebelum itu, ingin saya mulakan dengan satu kisah silam di zaman pemerintahan kerajaan Islam di bawah Sultan Murad ke-4 (memerintah 1623 hingga 1640 Masehi) yang amat memusuhi rokok


Sehinggakan beliau pernah melaksanakan hukum bunuh bagi penjual-penjual rokok dan perokok aktif di dalam negaranya.

Adapun dari sudut hukumnya; sebagai asas, para ulama' berbeza pandangan dalam menentukan hukumnya berdasarkan perbezaan tanggapan masing-masing terhadap keburukan (mudarat) yang terhasil daripada rokok. 

Hakikatnya dalam hal ini, sebarang fatwa mestilah dirujuk kepada ‘ahli al-zikr’ dalam hal tersebut.

‘Ahli al-Zikr’ dalam hal rokok ialah doktor perubatan selain ulama' yang mampu mengenal pasti impak buruk daripada rokok kepada tubuh dan kehidupan

Allah SWT berfirman dalam surah al-Furqan, ayat ke-59 yang bermaksud:-
“Maka bertanyalah akan hal itu kepada ahli zikr (yang mengetahuinya).”
Maka sebarang fatwa yang tidak dibuat berlandaskan maklumat lengkap daripada doktor perubatan atau pakar kimia adalah kurang tepat dan tidak sepatutnya dijadikan pegangan.

Rokok: Haram atau Harus?


Secara ringkasnya ulama' terbahagi kepada dua kumpulan dalam hukum rokok

Ia seperti berikut:-

# Hukum Haram


Ulama' kontemporari yang mengatakan demikian adalah Dar al-Ifta Mesir, Lajnah Fatwa Saudi, Lajnah Fatwa Azhar, seluruh ahli persidangan mencegah rokok (persidangan di Madinah pada 2 hingga 5 Mac 1982), Dr. Yusuf al-Qaradhawi. Syeikh Mahmud Syaltut, Syeikh Sayyed Sabiq, Syeikh Ahmad Syurbasi, Mufti Mesir Syeikh Ali Juma’at dan Syeikh Atiyyah Saqr 

(Rujukan: Akhbar al-Jumhuriyyah, 22 Mac 1979, Fatawa Mu’asirah, jilid 1, halaman 337, al-Fatawa li Muhammad Syaltut, Yas’alunaka oleh Syurbasi dan Fiqh al-Sunnah)

Ulama' silam yang mengatakan haram pula ialah Syeikh Muhammad Alauddin Haskafi al-Hanafi, Syeikh Sulaiman al-Bujairimi al-As-Syafi'e, Syeikh Mustafa al-Rihbani, Syeikh Ibrahim al-Laqqani al-Maliki dan ramai lagi.

(Rujukan: Alhukm as-Syar’ir fi at-Tadkhin, Kumpulan Ulama', Kementerian Kesihatan Sedunia, 1988, halaman 25 hingga 26)


Kumpulan ini semakin kuat mengharamkan apabila terdapat maklumat yang menyebut terdapat unsur arak dan racun dalam rokok, maka ia adalah seperti darah dan bangkai yang diharamkan kerana mengandungi unsur kotor dan racun seperti nikotin, tar, alkohol, methnol, karbon monoksida, ammonia dan lain-lain yang terkandung dalamnya.

(Rujukan: Abu Ubaidah al-Mashur, at-Ta’liqat al-Hisan Zayl Tahqiq al-Burhan, halaman 28, Dr. Abdul Sabur al-Shahin, as-Sajayir Halalun am Haramun, halaman 34 hingga 35)

Pada tahun 1962, Fakulti Perubatan Diraja Britain mengesahkan kesan buruk rokok terhadap kesihatan. Pada tahun 1964, Fakulti Kedoktoran Amerika mengeluarkan satu kajian setebal 387 halaman dan diterbitkan kandungannya di akhbar yang menyebut:-

“Merokok memudaratkan kesihatan secara pasti. 
Ia menyebut: 
Rokok menjadi penyebab pelbagai penyakit yang membunuh.”

(Rujukan: Mahmud Nazim, al-Tibb al-Nabawi wa ‘Ilmi al-Jadid, jilid 1, halaman 346)

Maka dengan kenyataan-kenyataan ini Allah SWT menyuruh kita agar merujuk kepada ahli dalam sesuatu bidang ilmu. Oleh sebab itu, pandangan pakar perubatan dalam hal ini tidak boleh diketepikan oleh para ulama' dalam membuat sebarang fatwa.

Selain keburukan dari sudut kesihatan, ia juga boleh memudaratkan hubungan kemasyarakatan dengan sebab baunya yang kuat dan busuk

Hal ini tidak dibenarkan oleh Islam berdasarkan sabda Nabi SAW yang bermaksud:-
“Tiada boleh memberi mudarat dan membalas mudarat.” 
Hadith Riwayat Malik dan al-Hakim
Hadith lain pula menyebut:-
“Sesiapa yang memakan dari pokok yang berbau ini (bawang merah, bawang putih), maka janganlah mendekati masjid-masjid kami. 

Sesungguhnya (bau yang busuk) itu menyakiti malaikat sebagaimana ia menyakiti manusia.” 
Hadith Riwayat al-Bukhari dan Muslim

#2 Hukum Harus (melihat secara tafsil)


Ulama' yang di pihak ini adalah Syeikh Abdul Ghani an-Nablusi, Syeikh Muhd Amin Ibn ‘Abidin, Syeikh Hasanain Makhluf (berpendapat hukumnya secara terperinci menurut keadaan), Syeikh Hasan Makmun.

Antara dalil mereka adalah asal segala sesuatu yang tidak mudarat adalah halal dan beberapa dalil yang lain.

Bagaimanapun kesimpulan dalil mereka adalah lemah kerana ia bersandarkan pandangan mereka tanpa maklumat berkenaan keburukan dari sudut perubatan pada zaman itu.


Hasilnya, mereka memberikan fatwa hanya berdasarkan bau asap rokok yang busuk dan menganggu. Justeru, sudah tentu bau yang busuk sahaja tidak mampu menyebabkannya menjadi haram.

Jelaslah pandangan mereka tidak mengambil maklumat baru dari sudut perubatan.

Wallahua'lam