Tidak Terlalu Berkira Dengan Ibu Bapa

Uruslah ibu bapa kita yang telah uzur dengan baik dan sempurna serta jangan terlalu berkira berapa wang ringgit yang telah dikeluarkan untuk mereka. Tidak salah jika anak-anak berkorban untuk ibu bapanya. 


Berkorban di sini bukan sahaja setakat wang ringgit malah melibatkan masa dan tenaga.

Peruntukkan Dirimu untuk Mereka


Ada sesetengah anak yang jijik melihat ibu bapa yang telah tua dengan muka yang berkedut, buang najis merata tempat dan mempunyai kerenah yang memeningkan dan mahu dilayan sepenuh masa

Disebabkan itu ada yang menghantar ayah dan ibu ini ke rumah kebajikan.

Apabila kita kembali zaman kecil kita, ayah dan ibu tidak pernah jijik membasuh najis kita. Mereka juga sabar melayan dan memantau kerenah kita yang lasak. Mereka sibuk mencari nafkah untuk keluarga dan pelbagai kerja lain lagi yang perlu dilakukan. 

Namun, mereka tidak cuai memastikan supaya ada masa dan perhatian diperuntukkan untuk kita. Buktinya, hari ini kita mampu membesar dan berjaya. Kita membesar kerana mereka menjaga dan menyuapkan kita makanan dengan izin Allah SWT

Adilkah pengorbanan itu dibalas dengan keluhan dan perbuatan mengungkit apabila tiba saat kita pula yang perlu menjaga mereka?

Mengurus dengan Rela agar Beban Terasa Satu Kebahagiaan


Kerelaan seorang anak untuk menjaga dan mengurus ibu bapanya dapat dirasai oleh hati ibu bapa melalui cara layanan terhadap mereka. Anak yang menguruskan ibu bapa dengan banyak mengungkit akan menambahkan beban jagaannya dan turut membebankan perasaan ibu bapa. 

Anak yang ikhlas menjaga ibu bapa pula lebih-lebih lagi apabila mereka telah tua, sangat dihargai oleh ibu dan bapa.

Sebenarnya mereka tidak mengharapkan wang ringgit daripada anak-anak tetapi kasih sayang dan perhatian. Walaupun ada sesetengah ibu bapa yang suka meminta duit daripada anaknya, namun hakikatnya, duit itu hanya menambah kekosongan dalam hidup mereka. 

Kasih sayang anak lebih membahagiakan.

Perkara yang perlu dilakukan untuk mengelakkan derhaka:-

  • Patuh dan taat pada suruhan selagi tidak bertentangan dengan ajaran agama Islam
  • Lemah lembut dan menghormati ibu bapa
  • Jaga dan layan mereka terutama sewaktu sakit dan tua
  • Sentiasa mendoakan mereka
  • Sedar dan insaf pengorbanan ibu bapa

Mengambil Berat Keperluan Ibu Bapa


Seorang anak yang prihatin terhadap ibu bapanya, tidak akan lupa untuk mengambil tahu kesemua hal ehwal mereka tanpa dipinta. 

Dia juga tidak sekali-kali merungut andai merasai kesusahan dan kepayahan semasa menjaga kedua-duanya, malah berasa bertuah kerana dapat berbakti kepada mereka.

Daripada Abu Hurairah RA, seorang lelaki bertanya:-

“Ya Rasulullah, siapakah yang paling berhak atas kebaikan daripadaku?”

Baginda menjawab:-

“Ibumu.”

“Siapakah selepas itu?”

Jawab Baginda:-

“Ibumu.”

“Selepas itu?”

“Ibumu.”

“Selepas itu?”

“Ayahmu.”

(Rujukan: Hadith Riwayat al-Bukhari)

Tidak Terlalu Berkira dengan Ibu Bapa



Sebenarnya banyak lagi kos yang dibelanjakan mereka. Itu tidak termasuk air mata, kepayahan, kesakitan, penat lelah ibu bapa dan banyak lagi. 

Tetapi kita, apa pula yang kita belanjakan untuk ibu dan ayah?

Mari kita buat perbandingan.


Hadith Rasulullah SAW sebagaimana yang diriwayatkan dengan sanad sahih daripada Abu Hurairah RA yang bermaksud:-
“Sungguh rugi, sungguh rugi, sungguh rugi orang yang mendapatkan (menjaga) kedua-dua ibu bapanya, baik salah satu atau kedua-duanya lanjut usia tetapi ia tidak masuk syurga.” 
Hadith Riwayat Muslim

Checklist Adab dengan Ibu Bapa



Ingat 2 Perkara dan Lupa 2 Perkara


#1 Ingat kebaikan, jasa dan budi orang kepada kita


Perlu diingat selalu jasa orang lain dan sekiranya berpeluang, eloklah dibalas walaupun balasan itu tidak setimpal dengan sumbangannya. Orang yang paling banyak budinya kepada kita ialah ibu bapa

Ingatan itu akan melahirkan rasa berterima kasih dan penghargaan. Lebih-lebih lagi kita perlu ingat dan mensyukuri segala nikmat dan limpah kurnia Allah SWT kepada kita yang tidak terhingga banyaknya. 

Allah SWT berfirman yang bermaksud:-
“Dan terhadap nikmat Tuhanmu, maka hendaklah kamu menyebut-nyebutnya (sebagai tanda bersyukur).” 
Surah ad-Duha 93:11

#2 Ingat kesalahan kita kepada orang lain


Rasa bersalah itu penting kerana rasa itulah yang mendorong kita meminta maaf, terutama kesalahan terhadap ibu bapa. Lebih-lebih lagi kita perlu ingat dan menginsafi dosa-dosa dan kederhakaan kita kepada Allah SWT, dengan beristighfar dan bertaubat

Kekalkan rasa berdosa itu supaya kita terhindar daripada melakukan kesalahan lain, kerana hati sentiasa takut dan berharap agar Allah SWT mengampunkan dosa-dosa kita.

#3 Lupakan segala budi, jasa dan kebaikan kita kepada orang lain


Jangan diungkit-ungkit dan dikenang-kenang, terutamanya kebaikan kita kepada ibu bapa. Rasakan seolah-olah kita tidak banyak pun berbuat baik kepada orang lain. Lebih-lebih lagi, kita perlu melupakan segala amal ibadah yang telah kita buat kerana Allah SWT


Dengan itu moga-moga hati kita tidak dilintasi oleh rasa ujub, sum’ah, riyak ataupun rasa diri baik dan mulia.

#4 Lupakan kejahatan orang terhadap kita


Anggaplah seolah-olah tidak ada sesiapa yang bersalah kepada kita supaya tidak tercetus rasa marah atau dendam terhadap orang lain. 

Lebih-lebih lagi hendaklah kita lupakan segala kesusahan dan ujian, musibah atau malapetaka yang ditimpa oleh Allah SWT kepada kita seperti sakit, kematian, kerugian, kemalangan dan kegagalan. 

Agar tidak tercetus perasaan tidak sabar dan tidak redha dengan ketentuan Allah SWT.

Wallahua'lam