Bangkit Untuk Dihisab


"Hari yang menggemparkan. Apakah dia hari yang menggemparkan itu? Dan apakah jalannya engkau dapat mengetahui kedahsyatan hari yang menggemparka itu? (Hari itu ialah Hari Kiamat) hari manusia mejadi seperti kelekatu yang terbang berkeliaran. Dan gunung-ganang menjadi seperti bulu dibusar berterbangan.

Setelah berlaku demikian, maka (manusia akan diberikan tempat menurut amal masing-masing) adapun orang yang berat timbangan amal baiknya. Maka dia berada dalam kehidupan yang senang lenang.

Sebaliknya orang yang ringan timbangan amal kebaikannya. Maka tempat kembalinya ialah "hawiyah". Dan apakah jalannya engkau dapat mengetahui, apa dia "hawiyah"? (Hawiyah itu ialah) api yang panas membakar."

(surah al-Qariah, 1-11:101)

Surah ini merupakan surah Makkiyah yang menduduki tempat ke-101 dalam susunan surah-surah al-Quran dan diturunkan selepas surah Quraisy. Nama diambil daripada perkataan "al-Qariah" yang terdapat dalam ayat pertama yang bermaksud ketukan yang amat keras. Walaubagaimanapun, maknanya dipakai dalam konteks lain yang lebih luas iaitu merujuk kepada hari Kiamat.


Keseluruhan firman Allah SWT dalam sebelas ayat ini menjelaskan tentang kiamat. Ia merangkumi gambaran fenomena kedahsyatan hari Kiamat yang diingkari oleh golongan Musyrikin. Allah SWT menggambarkannya sebagai sesuatu yang amat menakutkan dan mengerikan. Manusia yang selama ini ketika berada di dunia sentiasa dimuliakan akan berada dalam keadaan tidak dihargai sehingga ditiup berterbangan laksanan belalang yang melayang-layang dalam tiupan angin kencang yang tidak dapat dikawal oleh sesiapun melainkan Allah SWT.

Gunung-ganang yang amat kukuh menjadi seperti bulu yang berterbangan ke sana-sini. Keadaannya tidak jauh berbeza berbanding batu-batu kerikil kecil yang dilontar. Kemudian manusia akan dihimpunkan d hadapan Allah SWT untuk dihisab dan menerima balasan atas segala tindak-tanduknya di dunia.

Timbangan: Berat atau Ringan

Firman Allah SWT seterusnya dalam ayat 6 hingga 9, maksudnya:-

“Setelah berlaku demikian, maka (manusia akan diberikan tempatnya menurut amal masing-masing). Adapun orang yang berat timbangan amal kebaikannya, maka dia berada dalam kehidupan yang senang-lenang. Sebaliknya orang yang ringan timbangan amal kebaikannya, maka tempat kembalinya ialah ‘hawiyah’.”

Manusia akan dihadapkan di mahkamah Allah SWT utnuk dikira amalannya di dunia. Berkaitan dengan timbangan ini, Abu Daud dan al-Hakim meriwayatkan daripada Saidatina Aishah RA, isteri Nabi SAW, ia berkata:-

“Suatu hari aku teringat akan kedahsyatan neraka sehingga membuatkanku menangis. Rasulullah SAW lalu bertanya kepadaku,”Apa yang membuatkanmu menangis?”

Aku menjawab,”Aku teringat akan neraka, lalu aku menangis. Apakah Rasulullah akan ingat keluarga Rasullullah nanti pada hari kiamat?”

Rasulullah SAW menjawab yang bermaksud:-

”Kelak pada tiga keadaan, maka tidak ada seorang pun yang akan mengingati orang lain; iaitu (pertama) pada saat timbangan (amal) sehingga ia tahu timbangan kebaikannya lebih berat atau lebih ringan, (kedua) pada saat buku-buku catatan amalan berterbangan sehingga ia tahu buku itu jatuh ke tangan kanannya, tangan kiri atau dari belakangnya, dan (ketiga) pada saat melintasi titian (sirat) yang terletak di atas punggung neraka sehingga ia melaluinya.”

Hakim Yang Maha Adil

Berbagai-bagai hadith Nabi SAW menyebut tentang imbangan ini antaranya adalah sebuah riwayat daripada Ibn al-Mubarak daripada Salman al-Farisi dalam al-Zuhd katanya:-

“Diletakkan timbangan pada hari kiamat. Andai langit dan bumi diletakkan di atasnya nescaya ia cukup luas untuk keduanya. Para malaikat bertanya,”Wahai Tuhan, untuk siapa timbangan ini?”. Allah SWT menjawab,”Untuk makhluk yang Aku kehendaki.” Para malaikat berkata, “Maha Suci Engkau, kami belum menyembah-Mu dengan sebenar-benar ibadah.”

Hadith ini diriwayatkan oleh al-Hakim dengan marfu’, namun Ibn Rajab dalam Jami’ al-‘Ulum wa al-Hikam berkata:-

“Riwayat mauquf lebih mashyur.”

Kesimpulan daripada pelbagai ayat dan hadith yang bercerita tentang timbangan ini, ia memberikan gambaran bahawa timbangan (mizan) ini ialah suatu alat yang akan dibawa ke hadapan seluruh makhluk pada hari kiamat nanti, kemudian digunakan untuk menimbang secara amat teliti sekecil apa pun perbuatan baik atau buruk yang dilakukan seseorang. Alat ini memiliki dua bahagia; satu bahagian untuk diletakkan amal kebaikan dan bahagian lain untuk diletakkan amal keburukan. Mana-mana bahagian yang lebih berat, maka itulah yang akan menentukan nasib seseorang.

Inilah aqidah pegangan majoriti Ahli Sunnah sejak zaman sahabat dan tabi’in. Para ulama’ menjelaskan bahawa salah satu tujuan didatangkan timbangan tersebut adalah untuk memperlhatkan kepada manusia keadilan Allah SWT yang sangat tinggi dan tidak dapat dipertikaikan dalam membalas setiap amal perbuatan mereka di dunia.

Api Yang Panas

Allah SWT meggambarkan dalam ayat ke-9 bahawa tempat kembali para penderhaka ialah ‘hawiyah’. Dalam tafsir al-Alsar, pengarang menyatakan penggunaan neraka juga dikaitkan sebagai ‘ibu’ kerana para penderhaka akan kembali ke pangkuannya sebagaimana anak kembali ke pangkuan ibunya.

Dalam ayat ke-10 pula, uslub istifham (ayat tanya) didatangkan bagi meningkatkan kesedaran tentang bahayanya api neraka. Firman-Nya yang bermaksud:-

“Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui, apa dia hawiyah itu?”

Akhirnya dalam penutup surah ini Allah SWT sendiri menjawab persoalan itu dengan mafhum firmah-Nya:-

“(Hawiyah itu ialah) api yang panas membakar.”

Allah SWT menghendaki daripada manusia agar lebih faham bahawa tiada bahaya yang lebih memudaratkan berbanding kesengsaraan menjadi ahli dan penghuni neraka.

Semoga Allah SWT dengan kasih sayang-Nya melindungi dan menyelamatkan kita daripada kemurkaan-Nya. Berusahalah menyelamatkan dan menjauhkan diri dan ahli keluarga daripada disentu dan dijamah api neraka.

Allah SWT berfirman yang bermaksud:-

“Wahai orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu daripada api neraka yang bahan bakarnya ialah manusia” (surah al-Tahrim 66:6)

Wallahu’alam.