Antara Dua Arah Cinta

"Salahkah bercinta?"

"Allah hadirkan cinta, takkan tak boleh nak layan?"

"Kalau tak bercinta, macamana nak kenal bakal pasangan nanti?"

Begitulah antara keluhan remaja kita. Banyak persoalan di minda yang masih belum terjawab.

Siapa yang akan menjawabnya?

Adakah pengalaman orang dewasa di sekeliling mereka yang akan menjawabnya?

Atau logik minda mereka sendiri yang akan menjawab kesemua persoalan tersebut?

Atau penangan media massa yang akan mengilhamkan jawapan untuk mereka?

Beruntung remaja yang mencari jawapan yang benar daripada sumber yang maksum (terpelihara) iaitu al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW, bukan mencari fatwa dalam majalah-majalah hiburan, kisah cinta picisan, drama lakonan dalam filem dan televisyen ataupun perbincangan kosong di alam maya.

Beruntunglah remaja yang mendapat didikan yang benar daripada al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW. Bukan membiarkan diri dididik dan tunduk kepada kepuasan rakan sebaya, orang sekeliling dan realiti yang bercanggah dengan kebenaran.

Al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW, dua sumber itu yang akan menyelamatkan kita daripada terhumban dalam kesesatan. Sabda Nabi SAW yang bermaksud:-

"Aku meninggalkan kamu dua perkara, tidak akan sesat selama-lamanya sesiapa yang berpegang kepada kedua-duanya; kitab Allah dan sunnah Rasul-Nya." (HR Malik)

Jika ujian cinta itu amat berat dan menjalar dalam segenap hidup manusia sepanjang zaman, takkan dua sumber yang agung ini tidak memberi panduan tentangnya?

Panduan untuk menguruskannya bukan untuk membunuhnya. Masakan Islam agama fitrah mahu membunuh fitrah. Islam memandu kita untuk menyalurkannya secara mulia, terhormat dan bermaruah.

Bersama redha Allah SWT semata-mata.

Nasihat Buat Remaja

Adik-adik remaja sekalian,

Belek-beleklah kitab al-Quran dan hayatilah sunnah Rasulullah SAW. Alam remajamu akan menjadi lebih indah dan terarah. Naluri ingin mencintai dan dicintaimu itu akan terpesona dengan naluri ingin memiliki cinta agung. Kuasa cinta agung ini akan lebih membina kegagahan dalam setiap derap langkahmu menuju masa depan. Kegagahan tercipta kerana dirimu berasa dinaungi cinta yang Maha Gagah.

Itulah hebatnya cinta Allah SWT.

Di manakah harus dicari panduan-panduan yang praktikal agar cinta sesama manusia akan dapat memancing cinta Allah SWT sekaligus?

Insya-Allah, selain mengutip panduan daripada bahan-bahan bacaan yang berfaedah, dapatkan nasihat dan pedoman yang ditemui dari bibir guru-guru yang beramal, orang soleh, di majlis-majlis ilmu, forum-forum, ceramah-ceramah, masjid-masjid, blog yang dipercayai, laman web para ulama' dan sebagainya.

Ini ialah jalan-jalan untuk kita lebih memahami al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW. Banyak dan mudah, bukan? Jika hendak, seribu daya; jika tak hendak, doa-doakan biar hati jadi lunak. Tunduk dan menyerahlah kepada apa yang Allah SWT kehendaki.

Syirik Cinta

Selalu kita diingatkan agar tidak syirik. Ada apa dengan syirik? Syirik itu menduakan Allah SWT. Menyembah selain Allah SWT. Ia dinobatkan sebagai raja segala dosa besar. Dosa yang tidak mampu diberi ganti rugi untuk membeli keampunan Allah SWT.

Mengambil sesuatu yang selain daripada Allah SWT sebagai sumber kecintaan paling utama dalam hidup bererti menggantikan tempat Allah SWT dengan selain-Nya. Allah SWT mendedahkan kepada kita dalam al-Quran melalui firman-Nya yang bermaksud:-

"Dan antara manusia ada orang yang menjadikan selain Allah sebagai tandingan. Mereka mencintainya sebagaimana mereka mencintai Allah. Dan jika seandainya orang yan berbuat zalim itu mengetahui ketika mereka melihat seksa (hari kiamat), bahawa kekuatan itu kepunyaan Allah semuanya, dan bahawa Allah amat berat seksaan-Nya (nescaya mereka menyesal)." (surah al-Baqarah, 2:165)

Para ulama' ketika membincangkan ayat ini menyebut tentang kesyirikan dalam cinta atau ia digelar sebagai syirik al-mahabbah. Manusia menduakan cinta kepada Allah SWT dengan makhluk seangkatan dengannya.

Bagaimana dengan cinta kita kepada makhluk saat ini? Adakah ia sedang menjadi alat untuk kita lebih dekat kepada Allah SWT? Atau adakah ia sedang menjadi matlamat yang kita damba-dambakan sehingga melupakan Allah SWT? Semakin besar cinta kita kepada Allah SWT, semakin kecil nilai makhluk di hati kita, apatah lagi untuk menjadikannya tandingan kepada Allah SWT untuk diangau-angaukan.

Ketika cinta berkuasa, diri menjadi bingung. Gundah-gulana. Resah melanda. Banyak urusan tergendala. Apa yang dibuat menjadi serba tak kena. Merebak rasa malas. Membarah rasa segan jika orang lain tahu indakan yang pernah dilakukan. Maksiat demi maksiat mula meratah iman dan kesedaran. Menyimbah nur dengan kegelapan. Hati menjuih tatkala mendengar kebenaran.

Aduhai hati....takutlah pada syirik cinta!

Jangan tipiskan sensitivitimu wahai hati kerana aku tidak sanggup memiliki hati yang mati!


Menterjemahkan Cinta dengan Jalan-Jalan "Taqrabu al-Zina"?

Ya bukan Allah SWT tidak tahu hati kita cenderung kepada orang yang dicintai. Bukan Allah SWT tidak memahami kita yang selalu merindui si-dia. Bukan Allah SWT tidak mengerti bayangan si-dia yang sering singgah di minda kita. Semua itu fitrah. Setiap fitrah ada peraturannya.

Kenapa?

Supaya fitrah yang dimiliki kita ini akan tersalur secara mulia dan diredhai Allah SWT.

Bagaimana menghadapi ujian ini? Agar fitrah tidak menjadi fitnah. Agar fitrah mendapat barakah dari Allah SWT. Bagaimanakah caranya?

Diri seorang remaja pasti sibuk bergelumang dengan pelajaran, bukan? Diri seorang remaja pasti belum bersedia untuk berumahtangga, bukan?

Adakah sudah dipersiapkan diri ini dengan persiapan yang sepatutnya? Adakah keutamaan yang lebih penting dalam hidup seorang remaja ini sudah diambilkira?

Kalau seseorang remaja berada di dalam situasi ini, jadikan ujian cinta ini sebagai lubuk pahala apabila diperisaikan dengan mujahadah. Apabila "angau" bertandang, cepat-cepatlah beristighfar kepada Allah SWT. Kita beristighfar bukan kerana rindu itu satu dosa sebaliknya kerana bimbang akan "zina hati" yang akan menjalar. Sibukkan diri dengan aktiviti-aktiviti yang membina.

Daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:-

Setiap Bani Adam memiliki peluang untuk berzina. Kedua-dua mata itu berzina dan zinanya adalah dengan melihat. Kedua kaki juga berzina dan zinanya adalah dengan berjalan. Mulut juga berzina dan zinanya adalah dengan mencium dan hati itu juga berzina dan zinanya adalah hawa nafsu dan angan-angan. tetapi kemaluanlah yang membenarkan atau mengingkari zina tersebut." (HR Ahmad)

Gentarlah pada firman Allah SWT yang bermaksud:-

"Dan janganlah kamu menghampiri zina. Sesungguhnya zina itu suatu perbuatan yang keji. Dan suatu jalan yang buruk." (surah al-Isra', 17:32)

Para ulama' menjelaskan bahawa firman Allah SWT "....janganlah kamu mendekati zina...", maknanya lebih dalam daripada "janganlah kamu berzina". Firman Allah SWT tersebut bermakna, "Dan janganlah kamu mendekati sedikit pun juga daripada zina." (Rujukan: Tafsir al-Qurtubi Jil 10, 253)

"Yakni janganlah kamu mendekati apa-apa yang berhubungan dengan zina dan apa-apa yang membawa kepada zina, apatah lagi sampai berzina." (Rujukan: Tafsir Ruh al-Ma'ani Jil 15, 67-68, al-Imam al-Alusi al-Baghdadi, Tafsir Bahr al-Muhith Jil 6, 33)

Setelah islam memberikan panduan, wajarkah menyalurkan fitrah cinta dengan jalan-jalan yang menghampiri zina? SMS bertali arus tanpa keperluan. "Call" siang malam tanpa urusan. "Chatting" kosong tanpa isi. "Dating" bertemankan syaitan. Pandang-pandang tanpa pagaran. Khalwat di tempat-tempat sunyi. Berbua-bual, berbincang-bincang, tanya-tanya khabar tanpa sempadan. Menghalalkan ikhtilat (pergaulan bebas) dengan istilah adik angkat, abang angkat.

Dan banyak lagi.

Inikah Bukti Cintamu?

Adakah kita ingin membina sebuah mahligai perkahwinan dengan sebuah kenangan cinta yang menghampiri zina? Berkatkah nanti syurga dunia idaman kita? Mampukah ia membawa kepada syurga abadi milik Allah SWT di akhirat nanti?

Tepuk dada, tanyalah Iman kita.

Wallahua'lam.