Menangani Masalah Khilaf Dalam Kehidupan - Bahagian 1


Apabila menyebut atau membincangkan tentang khilaf, pasti terbayang di minda; perbezaan, pergeseran, perlawanan dan seumpamanya, sehingga mungkin membawa kepada permusuhan. Maka menjadi satu keperluan dan kemestian kepada semua ulama dan pendakwah yang menghadapi masalah ini supaya bersifat sabar, lemah lembut, sanggup menghadapi cercaan dan tohmahan, malah membalas keburukan itu dengan kebaikan.

Ini bertepatan dengan perintah Allah SWT dalam beberapa ayat al-Quran. Firman-Nya yang bermaksud:-

“Dan tidaklah sama kebaikan dan kejahatan. Tolaklah (kejahatan) itu dengan cara yang lebih baik. Apabila engkau demikian maka orang yang menaruh rasa permusuhan terhadapmu, dengan serta-merta akan menjadi seolah-olah seorang sahabat karib.” (surah al-Fussilat, 41:34)

Dengan inilah Nabi SAW telah berjaya menjinakkan hati-hati para musuhnya, mengubati kekerasan dan kekeringan hati mereka sebelum ini sehingga menjadi lembut dan lunak, lalu terbuka untuk menerima dakwah yang benar yang dibawa oleh Nabi SAW itu.

Suatu peristiwa berlaku terhadap Imam Abu Hanifah RH, semasa beliau mula menjalankan tugas mengajar orang ramai. Seorang lelaki yang bernama Musawir al-Warraq telah melontarkan dua bait syair yang ditujukan kepada Imam Abu Hanifah RH:-

“Kami berada dalam keluasan beragama sebelum hari ini;
Sehinggalah kami dibalakan dengan kedatangan para ulama yang banyak menggunakan qiyas;
Kaum itu, apabila berkumpul mereka melaung seolah-olah mereka;
Adalah serigala yang berada di celah dua buah bukit batu.”

Apabila berita ini sampai kepada pengetahuan Imam Abu Hanifah RH, beliau lalu menghantar sejumlah wang kepada lelaki itu. Setelah menerima wang itu, Musawir pun bersyair pula:-

“Apabila ada orang yang datang membawa qiyas kepada kami;
Dengan mengeluarkan fatwa yang pelik-pelik;
Nescaya kami akan bawakan kepada mereka qiyas yang sahih;
Yang tepat seperti yang dibawa oleh Imam Abu Hanifah.”

(Tarikh Baghdad, jilid 13, halaman 362)

Garis Panduan Mengelak Khilaf

Oleh sebab itu, untuk menangani masalah khilaf , mesti memahami beberapa dawabit (syarat dan peraturan). Ini merupakan satu ilmu yang telah diajar oleh para ulama terdahulu lagi. Hari ini, kita lihat rak-rak buku di perpustakaan dipenuhi dengan kitab-kitab mengenai perbincangan ilmu khilaf, sama ada kitab klasik mahupun kontemporari. Namun malangnya, teori kekal sebagai teori, tidak dipraktikkan.

1. Berpegang (al-I’tisam) dengan Kitab dan Sunnah

Asasnya ialah beberapa firman Allah SWT yang bermaksud:-

“Tentang sesuatu ataupun kamu berselisih, maka keputusannya (terserah) kepada Allah. (Yang mempunyai sifat-sifat demikian), itulah Allah Tuhanku, kepada-Nyalah aku bertawakal dan kepada-Nyalah aku kembali.” (surah al-Syura, 42:10)

“Wahai orang yang beriman, taatilah Allah dan taatlah Rasul dan pemimpin daripada kalangan kamu. Kemudian jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu, makan kembalikanlah ia kepada Allah (al-Quran) dan Rasul (Sunnahnya), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari kemudian. Yang demikian itu lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya.” (surah al-Nisa’, 4:59)

2. Berdialog (al-Hiwar)

Allah SWT telah memerintahkan agar berdebat (mujadalah) secara baik dan beradab. Arahan ini termasuk juga semasa berdebat dengan ahli kitab sebagaimana firman-Nya yang bermaksud:-

“Dan janganlah kamu berdebat dengan ahli kitab melainkan dengan cara yang paling baik, kecuali dengan orang yang zalim antara mereka.” (surah al-‘Ankabut, 29:46)

Menurut mufasir yang dimaksudkan dengan “orang yang zalim” ialah mereka yang setelah diberikan kepadanya keterangan dan penjelasan dengan cara yang paling baik, mereka tetap membantah, membangkang dan tetap menyatakan permusuhan.

Pengajarannya, walaupun berdebat tentang hal agama dengan orang kafir, Allah SWT tetap mengarahkan orang (para ulama) yang mempunyai kemampuan (ditekankan, hanya mereka yang berkemampuan sahaja yang layak) supaya menggunakan uslub dan adab yang baik dengan mereka, kecuali apabila mereka melampau dan sangat keras serta menyatakan permusuhan secara jelas dan zahir.

Allah SWT telah menceritakan kepada kita tentang firman-Nya kepada iblis yang bermaksud:-

“Allah berfirman, “Wahai iblis, apakah yang menghalang kamu daripada sujud kepada apa yang telah Aku ciptakan dengan kadua-dua tangan-Ku? Apakah kamu menyombongkan diri atau kamu (berasa) termasuk orang yang (lebih) tinggi? Iblis berkata,”Aku lebih baik daripadanya kerana Engkau ciptakan aku daripada api, sedangkan Engkau ciptakannya daripada tanah.” (surah Sad, 38:75-76)

Demikian juga Allah SWT menceritakan tentang firman-Nya kepada malaikat tentang penceritaan Adam A.S. Firman Allah SWT yang bermaksud:-

“Ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat,”Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi.” Mereka berkata,”Mengapa Engkau hendak menjadikan (khalifah) di bumi orang yang akan membuat kerosakan padanya dan menumpahkan darah, padahal kami senantiasa bertasbih dengan memuji Engkau dan menyucikan Engkau? Tuhan berfirman,”Sesungguhnya Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui.” (surah al-Baqarah 2:30)

Maka al-hiwar merupakan satu cara yang amat perlu diperluaskan pengamalannya. Demikian juga al-munazarah (perbahasan secara ilmiah) yang dijalankan secara aman merupakan salah satu uslub untuk menyampaikan kebenaran. Ia boleh mendekatkan hati dua pihak yang bertelagah. Mana-mana perbincangan yang diadakan sama ada secara tertutup atau terbuka, dalam apa-apa bidang sekalipun, ada yang berlangsung secara tenang dan baik. Ini pasti boleh menyampaikan maklumat dan mendidik masyarakat bagi membuka minda serta menerima pandangan-pandangan yang berlainan.

Namun terdapat juga perdebatan yang hanya bertujuan untuk meraih sokongan penyokong semata, yang natijahnya boleh diketahui dari awal lagi. Cara ini tidak mencapai matlamat al-hiwar yang sebenar, bahkan menghabiskan masa masyarakat dan merugikan harta dengan menghabiskan perbelanjaan yang banyak. Ia juga menambahkan lagi taksub para pengikutnya serta menimbulkan amarah pihak lawan. Natijahnya tidak mendekatkan jauh, tidak mendedahkan kebatilan, tidak menegakkan kebenaran bahkan sebaliknya, bertambah kekusutan!

3. Al-Syura (Mesyuarat)

Syura adalah antara amalan yang diperintahkan oleh Allah SWT. Firman-Nya yang bermaksud:-

“Kerana itu maafkanlah mereka , mohonkanlah keampunan bagi mereka dan bermusyawarahlah dengan mereka dalam urusan itu. Kemudian apabila kamu telah membulatkan tekad, maka bertawakallah kepada Allah. Sesungguhnya Allah menyukai orang yang menyukai orang yang bertawakal kepada-Nya.” (surah Ali ‘Imran, 3:159)

Ahli tafsir berkata, maksud “urusan” dalam ayat di atas bukan sahaja urusan peperangan, malah hal-hal duniawi yang lain seperti urusan politik, ekonomi, kemasyarakatan dan sebagainya.

Firman Allah SWT juga bermaksud:-

“Sedangkan urusan mereka (diputuskan) dengan musyawarah antara mereka.” (surah al-Syura, 42:38)

Nabi SAW juga telah mengamalkan syura bersama para sahabat semasa membuat keputusan dalam beberapa urusa penting. Antaranya, dalam perang Badar, sama ada untuk meneruskan perjalanan ke Badar atau tidak, juga berkenaan tawanan Badar. Semasa perang Uhud pula, sama ada menunggu kedatangan musuh di dalam bandar Madinah atau keluar darinya.

Menanam prinsip ini dalam kehidupan setiap keluarga, rumah tangga, masyarakat, sekolah, pejabat serta negara seluruhnya, adalah satu perkara daruriyyat (kemestian), terutamanya dalm masalah yang berkaitan dengan golongan muda. Dekatkan mereka dengan golongan dewasa dengan cara bersahabat, berbincang dan mendengar masalah mereka, bukan sekadar memaksa dan menekan mereka untuk menerima pandangan kita bulat-bulat.


4. Fokuskan Isu Yang Diterima Bersama (Ittifak)

Kata ulama:-

“Islamnya seorang kafir, walaupu melalui hasil tangan seorang yang berfahaman tidak betul, seperti kumpulan Jahmiyyah adalah lebih baik daripada dia terus kekal kekufurannya. Taubat seorang yang jahat walaupun dengan sebab hadith dhaif yang diterimanya adalah lebih baik daripada dia terus kekal dalam kejahatannya. Solat berjemaah di belakang imam ynag tidak mengamalkan sunnah adalah lebih baik daripada meninggalkan jemaah terus.”

(Majmu’ al-Fatawa, jilid 13, halaman 96 dan jilid 23, halaman 353)

Perlu diingatkan, pemfokuskan kepada isu ittifak ini mestilah bergantung kepda maslahat, itjihad, penelitian dan perubahan zaman serta keadaan.

Umat Islam hari ini amat perlu mengambil kira dan beramal dengan isu ittifak ini. Lebih-lebih lagi pada saat kedudukan umat Islam kini agak lemah, musuh-musuh pula sedang menekan, menunggu peluang untuk memecah dan memesongkan kesatuan umat ini.

Kenapa kita berpecah sesama sendiri dari dalam? Sedangkan banyak lagi isu-isu yang memang kita boleh persetujui bersama. Hakikatnya mungkin hanya 1% hingga 5% sahaja perkara yang kita berselisih pendapat, itu pun hanya dalam perkara-perkara juz’iyyat (cabang-cabang kecil). Tetapi yang terzahir seolah-olah umat Islam ini tiada persefahaman langsung sesama sendiri, umat yang berpecah belah, suka bertelingkah dan berbeza-beza kefahamannya!

Oleh sebab itu, mengambil kira “noktah bersama” ini (ittifak), ia satu ruang yang cukup luas dalam makna syariah dan kehidupan manusia.

Allah SWT telah mensyariatkan kepada kita agar tolong-menolong dalam perkara yang baik dan tidak sebaliknya. Mafhum firman-Nya:-

“Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan taqwa, dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan permusuhan.” (surah al-Ma’idah, 5:2)

Allah SWT mengarahkan dengan jelas agar kita tolong-menolong iaitu bekerjasama enggan sesiapa sahaja selagi ia membawa kepada kebaikan dan taqwa. Kemudian Allah SWT melarang sama sekali daripada berkerjasama dan tolong-menolong jika ia membawa kepada keburukan dan permusuhan. Ayat ini menentukan arahan berkerjasama dan tolong-menolong tetapi tidak menentukan dengan siapa. Semoga kita termasuk dalam golongan yang menegakkan kebenaran dan tolong-menolong dalam kebajikan dan taqwa. Aamiin.

Wallahua'lam.
Share on Google Plus

About Mohd Shahrul

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
    Blogger Comment
    Facebook Comment