Mengumpat Yang Harus

“Saya bukan nak mengumpat, tetapi perkara yang saya sebut ni, memang benar-benar berlaku! Saya lihatnya sendiri.”

“Malaslah nak dengar ceramah ustaz tu, asyik mengumpat orang aje.”

"Hari ni saya berpuasa, jadi saya tidak mahu join kamu mengumpat.”

Dan pelbagai lagi ungkapan yang sering didengari berkaitan dengan mengumpat

Apakah yang sebenarnya yang dimaksudkan dengan mengumpat

Adakah dikira mengumpat sekiranya apa yang diceritakan itu benar-benar berlaku

Adakah wujud mengumpat yang diharuskan?

Dalam sepotong hadith yang diriwayatkan oleh Imam Muslim RH (No. 2589), Rasulullah SAW bertanya para sahabat:- 

“Adakah kamu tahu apa makna mengumpat?”

Para sahabat menjawab:-

“Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui.” 

Rasulullah SAW menjelaskan yang bermaksud:-

“Kamu menyebut sesuatu tentang saudaramu yang ia marah (sekiranya dia mengetahuinya).” 

Sahabat bertanya:-

“Sekiranya apa yang saya sebutkan itu benar-benar wujud, adakah dikira mengumpat juga?” 

Rasulullah SAW menerangkan:-

“Sekiranya apa yang kamu sebutkan itu benar-benar wujud (berlaku), maka kamu dikira mengumpat. Dan sekiranya apa yang kamu sebut itu tidak benar, maka kamu dikira telah memfitnahnya.”


Takrif Mengumpat

Hadith ini memberi penjelasan yang lengkap tentang mengumpat. Bolehlah disimpulkan bahawa mengumpat ialah perbuatan menyebut sesuatu yang benar-benar wujud (berlaku) tentang seseorang yang sekiranya ia mengetahuinya, ia pasti akan marah

Dalam kitab al-Azkar, Imam al-Nawawi RH menyediakan takrif yang terperinci tentang mengumpat iaitu:-

“Kamu menyebut tentang saudaramu yang ia memarahinya sama ada perkara tersebut berkaitan dengan tubuh badan, agama, dunia, diri, fizikal, akhlak, harta, anak, ayah, pasangan, khadam, hamba, serban, baju, cara berjalan, bergerak, senyuman, masam wajah dan segala-galanya yang berkaitan dengan dirinya, sama ada dengan cara menyebut, menulis, isyarat mata, kepala dan sebagainya.”

Mungkin penulis boleh menambah, termasuk juga yang menulisnya di blog, Facebook dan pelbagai mekanisme moden sekarang. 

Imam al-Nawawi RH juga mengingatkan kita bahawa mendengar umpatan juga hukumnya haram. Apabila seseorang mendengar saudaranya mengumpat, maka ia wajib melarangnya jika tidak membawa mudarat atau berusaha menukar tajuk perbualan. Sekiranya tidak mampu, ia mestilah meninggalkan tempat tersebut atau membencinya dalam hati.

Burger Daging Manusia

Sanggupkah seseorang makan sekiranya diberitahu bahawa burger yang ada di tangannya dibuat daripada daging manusia yang telah mati? 

Pastinya dengan penuh jijik menolaknya. 

Demikian Allah SWT membuatnya perumpamaan dalam al-Quran bahawa mengumpat itu umpama seseorang memakan daging saudaranya yang telah mati – surah al-Hujurat, 49:12.

Bahkan ketika peristiwa Israk Mikraj, Rasulullah SAW diperlihatkan suatu situasi yang sangat mengerikan iaitu satu kaum yang memiliki kuku daripada tembaga sedang mencakar-cakar wajah dan dada mereka sendiri. Baginda SAW bertanya kepada Jibril AS:-

“Siapakah mereka itu?” 

Jibril AS menjawab:-

“Mereka ialah orang yang memakan daging manusia (mengumpat) dan menjatuhkan maruah orang lain.” (HR Abu Daud, no. 4235)

Berdasarkan perumpamaan ini, para ulama menyimpulkan bahawa hukum mengumpat adalah haram dan termasuk dosa besar yang menuntut pelakunya melakukan tabiat yang khusus berserta memohon kemaafan daripada orang yang diumpatnya.

Enam Mengumpat Yang Diharuskan

Dalam kitab ‘Ihya Ulum al-Din, setelah Imam al-Ghazali RH membicarakan secara panjang lebar berkenaan larangan dan sebab-sebab manusia mengumpat. 

Dinyatakan juga enam keuzuran (situasi) yang mengharuskan mengumpat, iaitu:-

1.  Mengadu kezaliman dan pengkhianatan yang berlaku

2. Meminta pertolongan untuk mengubah kemungkaran yang berlaku, maka didedahkan kemungkaran tersebut. (Bahkan ada katanya pendedahan ini menjadi wajib apabila kemungkaran yang berlaku melibatkan ancaman kepada aqidah dan masa depan generasi akan datang)

3. Meminta fatwa daripada mufti seperti isteri menceritakan perbuatan jahat suami atau sebaliknya, berdasarkan aduan isteri Abu Sufyan kepada Rasulullah SAW tentang suaminya yang kedekut.

4. Menyelamatkan saudaranya daripada kejahatan seseorang seperti mendedahkan kejahatan seorang hamba yang bakal dibeli (dalam konteks situasi semasa ialah pekerja) dan seseorang yang ingin diserahkan amanah kepadanya. Demikian juga seseorang yang ditanya tentang perempuan atau lelaki yang bakal dikahwini, maka harus mendedahkan keburukannya sekiranya ada. Terdapat tiga golongan manusia yang seandainya diceritakan keburukan mereka maka ia tidak kira mengumpat, iaitu pemimpin yang zalim, ahli bida’ah dan seorang yang terang-terang melakukan kefasiqan.

5.  Memperkenalkan seseorang yang memang terkenal dengan gelaran tertentu. Atau hanya dikenali apabila disebut sifat cacatnya seperti tempang, buta dan sebagainya.

6. Seseorang yang terang-terangan melakukan kefasiqan seperti lelaki atau perempuan yang mengubah jantinanya, peminum arak, penzina dan sebagainya. Tetapi jika melakukannya secara bersembunyi, maka tidak harus menyebut tentang mereka.


Walau bagaimanapun, enam situasi ini mestilah dikawal dengan kaedah “al-dararu tuqaddaru bi qadariha” yang bermaksud, setiap perkara yang dilarang sekadar yang diperlukan untuk mengatasi darurat itu sahaja. 

Ini bermakna sekiranya tidak disebut nama seseorang, maka itu lebih baik. Tetapi sekiranya tidak disebut secara khusus menyebabkan situasi tersebut tidak dapat diatasi atau diselesaikan, maka bolehlah disebut nama. 

Perbuatan itu masih dikira mengumpat, tetapi hukumnya harus.

Wallahua'lam.