9 Cara Meraih Sifat Tenang - Bahagian 1

Dalam kita berbincang tentang kepentingan kesatuan dan menjauhkan perpecahan, para ulama’ telah menjelaskan betapa pentingnya ilmu dalam semua perkara. Pelbagai kelebihan telah dijelaskan melalui al-Quran juga hadith. Dinukilkan di sini analisis seorang ulama’ tabi’in yang mahsyur, al-Hasan al-Basri RH tentang kepentingan beramal dan menggunakan ilmu dalam segenap aspek kehidupan.

Beliau berkata:-

“Seseorang yang bekerja atau beramal tanpa ilmu seperti seorang yang berjalan tidak mengikut jalan yang sepatutnya. Seseorang yang bekerja tanpa ilmu, mereka akan melakukan kerosakan lebih daripada membawa kebaikan. 

Maka tuntutlah ilmu tanpa merosakkan ibadat dan lakukan ibadat tanpa merosakkan ilmu. Terdapat suatu kaum yang mencari ibadat dengan meninggalkan ilmu sehingga membawa mereka keluar dengan senjata mereka (berlaku keganasan) ke atas umat Muhammad SAW. 

Sekiranya mereka beramal dengan ilmu yang betul nescaya mereka tidak akan melakukan keganasan tersebut.” (Jami’ Bayan al-Ilmi)

Memang benar sekali. Orang yang melakukan sesuatu pekerjaan tanpa ilmu, dia tidak akan membawa kebaikan bahkan akan membawa kerosakan yang lebih teruk.

Dalam berbeza pendapat tentulah akan ada yang terasa hati, terguris perasaan dan akan membawa kepada kemarahan. Setiap orang tidak akan terlepas daripada sifat marah. Ia juga merupakan ujian kepada kemampuan seseorang insan. Adakah dia mampu mengawal nafsu amarahnya, tidak melampaui batasan serta tidak melepaskan kemarahan kepada orang lain yang tidak sepatutnya?

Imam Abu al-Hasan al-Mawardi RH dalam kitabnya Adab al-Dunya wa al-Din telah menggariskan beberapa perkara yang sepatutnya dilakukan untuk meraih sifat lemah lembut, pemaaf dan mampu mengawal kemarahan. Dalam bahasa Arab disebut dengan perkataan “al-Hilm”. Dalam catatan ringkas ini dibawa sembilan cara. Dengan melakukan salah satu daripadanya, insya-Allah akan dapat meraih sifat halim dan mampu mengawal nafsu amarah.

Pertama: Lemah Lembut

Rahmat dan belas kasihan kepada orang yang bersalah serta berlemah lembut dengannya.

Firman Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW yang bermaksud:-

“Maka disebabkan rahmat daripada Allah jua kamu berlaku lemah lembut terhadap mereka. Sekiranya kamu bersikap keras lagi berhati kasar, tentulah mereka menjauhkan diri daripada sekelilingmu. Kerana itu maafkanlah mereka, mohonkanlah keampunan bagi mereka, dan bermusyawarahlah dengan mereka dalam urusan itu. Kemudian apabila kamu telah membulatkan tekad, maka bertawakallah kepada Allah. Sesungguhnya Allah menyukai orang yang bertawakal kepada-Nya.” (surah Ali ‘Imran 3:159)

Golongan yang diarahkan untuk bermusyawarah ini adalah kaum Muhajirin dan Ansar, golongan terawal daripada umat Nabi Muhammad SAW. Lalu bagaimana dengan kita umat akhir zaman? 

Bagaimana dengan orang yang tidak setaraf dengan maqam Rasulullah SAW, daripada golongan biasa sama ada daripada golongan ulama’, pendakwah, pemimpin serta mempunyai pangkat dan kedudukan?

Manusia tidak mungkin akan bersatu kecuali atas dasar rahmat dan lemah lembut.

Abu al-Darda’ RA berkata kepada orang yang mencercanya:-

“Wahai saudara! Jangan kamu tenggelam dalam mengutuk kami. Tidak adakah satu asas untuk kita boleh berdamai? Sesungguhnya kami tidak dapat memberi balasan kepada orang yang telah berdosa kepada Allah dengan sebab kami lebih banyak mentaati Allah Azzawajalla dalam menjaga kedudukannya.”

Seorang lelaki telah mengutuk Abu ‘Amir al-Sya’bi RH. Beliau lalu berkata kepada lelaki itu:-

“Sekiranya aku benar sepertimana yang kamu katakan, maka semoga Allah mengampuniku. Dan sekiranya aku bukan sebagaimana yang kamu katakan, maka semoga Allah mengampuni kamu.”

Maka wajiblah kita mendidik diri dan nafsu agar sentiasa redha, sabar, berlembut dan bertolak ansur. Ini adalah sifat asas seseorang insan itu cuba untuk menjadi seorang yang benar-benar bersifat pemaaf.

Diriwayatkan daripada Abu al-Darda’ RA:-

“Sesungguhnya ilmu boleh diperoleh dengan belajar, manakala sifat pemaaf (hilm) diperoleh dengan berusaha memberi maaf. Sesiapa yang sentiasa mencari kebaikan akan diberikan kepadanya, manakala sesiapa yang menjauhkan diri daripada kejahatan akan terpelihara daripadanya.” (HR at-Tabrani, sanadnya hasan)

Hendaklah kita memerhatikan diri kita sendiri dan meletakkan setiap perkara itu pada tempat yang sewajarnya sebelum menyalahkan orang lain.

Ingatlah bahawa tahiyyatul Islam (penghormatan) itu adalah dengan mengucapkan “Assalamu alaikum wa rahmatullahi wa barakatuh”. Inilah yang diajar oleh Rasulullah SAW iaitu mengucapkan salam kepada ahli keluarga sebelum kita memasuki rumah.

Firman Allah SWT yang bermaksud:-

“Maka apabila kamu memasuki (suatu rumah daripada ) rumah-rumah (ini), hendaklah kamu memberi salam kepada (penghuninya yang bererti memberi salam) kepada dirimu sendiri.” (surah an-Nur 24:61)

Hendaklah dia mengucapkan salam kepada semua, sama ada kepada budak kecil, orang muda atau orang tua, tidak kira yang dikenali atau tidak.

Seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah SAW:-

“Apakah ajaran Islam yang paling baik?”

Baginda SAW bersabda yang bermaksud:-

“Memberi makan (membuat jamuan) dan memberi salam kepada orang yang kamu kenali, juga kepada orang yang tidak dikenali.” (HR al-Bukhari dan Muslim)

Ammar bin Yasir RA berkata:-

“Sesiapa yang dapat mengumpulkan tiga perkara ini, maka dia telah mengumpulkan ciri-ciri keimanan dalam dirinya. Pertama, berlaku adil (insof) terhadap diri sendiri (dengan melaksanakan hak-hak Allah dan hak-hak makhluk). Kedua, menyampaikan salam kepada alam seluruhnya (kepada orang yang dikenali dan tidak dikenali). Ketiga, memberi sedekah sedangkan dia sendiri berhajat kepadanya.” (HR al-Bukhari, Ta’liqan)

Ucapan tahiyyah (penghormatan) ini mempunyai pelbagai makna. Terkandung dalamnya erti al-Salam iaitu:-

“Bahawa kamu selamat daripada aku, lidahku, hatiku dan tanganku (yakni zahir dan batin). Aku tidak akan mencerobohi hak kamu sama ada dengan perkataan atau perbuatan.”

Dalamnya juga terkandung ucapan doa untuk keselamatan, rahmat dan berkat dan seumpamanya. Inilah makna yang sangat bernilai yang kita ucapkan dengan lidah kita, maka hendaklah menjadikannya sebagai satu amalan dan manhaj dalam kehidupan seharian kita dalam perhubungan dengan orang lain.

Kedua: Berlapang Dada

Antara perkara yang dapat menghilangkan kemarahan adalah dengan berlapang dada dan punyai kepercayaan baik terhadap orang lain. Ini boleh menjadikan seseorang itu pemaaf atas kesalahan orang lain.

Berkata bijak pandai:-

“Sebaik-baik akhlak yang mulia aialah kemaafan daripada orang yang berkuasa dan sifat dermawan orang yang memerlukan.”

Apabila seseorang yang mempunyai kuasa untuk menjatuhkan hukuman ke atas musuh yang berada di tangannya, tiba-tiba melepas dan memaafkannya, alangkah mulia dan hebat perbuatannya! Begitu juga seekah atau pemberian yang dilakukan oleh seseorang yang dirinya sendiri pada hakikatnya memerlukan dan berhajat kepada benda itu, tetapi dia tidak mementingkan diri malah lebih mengutamakan orang lain daripada dirinya sendiri.

Firman Allah SWT yang bermaksud:-

“Tetapi orang yang bersabar dan memaafkan, sesungguhnya (perbuatan) yang demikian itu termasuk hal-hal yang diutamakan.” (surah al-Syura 42:43)

Rasulullah SAW telah bersabda kepada kaum Quraisy pada hari pembukaan kota Makkah, yang dahulunya telah menghina dan menentangnya:-

“Apakah yang kamu jangka akan aku lakukan terhadap kamu semua pada hari ini?”

Mereka berkata:-

“Kebaikan! Sesungguhnya tuan seorang yang mulia, daripada keturunan yang mulia.”

Baginda SAW lalu bersabda yang bermaksud:-

“Pergilah, sesungguhnya kamu semua telah bebas!”

Nabi Yusuf AS juga telah berkata kepada saudaranya setelah mereka berada di bawah kekuasaannya, sedangkan mereka dahulu menganiayanya dengan meninggalkan Baginda di dalam telaga.

Kata-katanya dirakamkan dalam firman Allah SWT yang bermaksud:-

“Dia (Yusuf) berkata: ‘Pada hari ini tidak ada cercaan terhadap kamu, mudah-mudahan Allah mengampuni (kamu), dan Dia adalah Maha Penyayang antara para penyayang.’” (surah Yusuf 12:92)

Ini adalah antara contoh akhlak agung yang telah diamalkan oleh para rasul dan anbiya yang mulia.


Ketiga: Menjaga Kemuliaan Diri Serta Mempunyai Keazaman Dan Semangat Yang Tinggi

Apabila seorang insan itu menjaga dirinya daripada memaki dan mencerca orang lain, ini dengan sendirinya akan mengangkat dirinya daripada martabat tersebut. Ini kerana orang yang tidak menjaga keperibadiannya akan mudah mengeluarkan kata-kata yang tidak elok, bahkan merendahkan kedudukan dirinya.

Hendaklah kita membiasakan diri menghadapi cercaan. Jangan disembunyikan wajah kita. Hadapilah ia dengan senyuman dan hati yang terbuka. Kita juga hendaklah melatih diri secara amali untuk mengawal kemarahan, bukan sekadar teori dan kata-kata sahaja.

Firman Allah SWT yang bermaksud:-

“(Iaitu) orang yang menafkahkan (hartanya), baik pada waktu senang mahupun susah, dan orang yang menahan amarahnya dan memaafkan (kesalahan) orang lain. Allah menyukai orang yang berbuat kebajikan.” (surah Ali ‘Imran 3:134)

Ummul Mukminin Aisyah RA menceritakan bahawa beberapa orang Yahudi telah datang menemui Rasulullah SAW. Mereka lalu mengucapkan “Assamu ‘alaikum” (Sam: satu kalimah tidak baik yang bererti mati atau celaka). Maka Aisyah pun berkata:-

“Aku memahami apa maksud ucapan mereka itu lalu aku menjawab: ‘Ke atas kamu ‘sam’ dan laknat!’”

Rasulullah SAW lalu bersabda yang bermaksud:-

“Bertenang wahai Aisyah. Sesungguhnya Allah suka orang yang lemah lembut dalam semua urusannya.”

Aisyah bertanya:-

“Tidakkah tuan dengar apa yang mereka ucapkan untukmu?”

Rasulullah SAW menjawab:-

“Aku mendengarnya dan aku telah menjawabnya “Wa’alaikum’ (iaitu ke atas kamu juga apa yang kamu ucapkan itu).” (HR al-Bukhari)


Wallahua'lam.
Share on Google Plus

About Mohd Shahrul

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
    Blogger Comment
    Facebook Comment