Hikmah Tidak Mengenal Usia

Bersedia menerima kebenaran meskipun daripada orang yang lebih muda adalah tanda tawadduk. Ia tidak membawa kepada kehinaan, malah mengundang penghormatan dan rasa kagum orang disekelilingnya.


Budak kecil memang mentah, ilmunya belum banyak dan begitu juga dengan pengalamannya. Namun begitu, seringkali hikmah keluar dari lidah mereka kerana hikmah dan kebenaran tidak mengenal usia dan kedudukan.

Dalam Siyar A’lam al-Nuba’la, al-Hafiz al-Zahabi menceritakan kisah berikut. Ia berkenaan biografi Imam Muhammad bin Ismail al-Bukhari, ahli hadith yang sangat terkenal dengan bukunya al-Jami’ al-Sahih (Sahih al-Bukhari).

Ketika masih kecil, Imam al-Bukhari sering mendatangi seorang ulama’ hadith yang bernama al-Dakhili untuk menulis hadith daripadanya. Dalam suatu majlis awam, di hadapan orang ramai, al-Dakhili keliru membaca sanad hadith:-

“Sufyan daripada Abu al-Zubair daripada Ibrahim...”

Al-Bukhari yang kala itu baru berusia 11 tahun segera menegur gurunya. Beliau berkata:-

“Sanad ini keliru. Abu al-Zubair tidak pernah meriwayatkan hadith daripada Ibrahim.”

Mendengar teguran ini, al-Dakhili membentaknya, namun al-Bukhari tetap yakin dengan pendapatnya. Beliau berkata:-

“Cubalah tuan periksa kembali buku catatan tuan.”

Al-Dakhili segera masuk ke dalam rumahnya untuk merujuk buku catatannya. Tidak lama kemudian, beliau keluar sambil berkata:-

“Bagaimanakah sanad yang sebenarnya, wahai budak?”

Al-Bukhari berkata:-

“Sanad yang sebenarnya adalah daripada al-Zubair bin ‘Adi (bukan Abu al-Zubair) daripada Ibrahim...”

Al-Dakhili segera mengambil pensel, lalu membuat pembetulan dalam kitabnya sambil berkata:-

“Kamu benar.”

Persepsi Yang Salah

Kisah ini bukan hanya menunjukkan ketelitian al-Bukhari, tetapi juga memperlihatkan ketinggian adab al-Dakhili. Tidak ramai yang dapat mendengar usul orang yang lebih muda daripadanya, apatah lagi membenarkannya.

Kebanyakan manusia segera menolak pendapat orang yang lebih muda, sambil memperlihatkan ‘kuasa senioriti’ yang dimilikinya. Mereka berkata:-

“Kami lebih dahulu makan garam daripada kamu.”

Orang seperti ini memliki persepsi yang keliru mengenai kebenaran dengan usia; yang tua selalu benar dan yang muda selalu salah. Padahal, teori ini tentu sahaja tidak selamanya benar.

Persepsi ini biasanya melahirkan sikap tertutup dan pemaksaan kehendak. Berapa banyak ibu bapa yang bersedia mendengar pendapat atau saranan anaknya?

Berapa ramai yang berusaha mengambil tahu apa yang  mereka inginkan sebenarnya?

Kebanyakan orang yang lebih tua tidak memerlukan pendapat orang yang lebih muda, namun mereka memerlukan tenaganya. Itu sebabnya mereka sering memerintah, namun jarang meminta saranan.

Sikap sebegini tentunya tidak sihat. Sepandai manapun seseorang, ia tetap terdedah kepada kesilapan dan kesalahan. Oleh sebab itu, dia perlu bersikap terbuka untuk mendengar saranan daripada orang lain, meskipun orang itu jauh lebih muda daripadanya.

Tanda Tawadduk

Bersedia menerima kebenaran meskipun daripada orang yang lebih muda adalah tanda tawadduk. Ia tidak membawa kehinaan, malah mengundang penghormatan dan rasa kagum daripada orang di sekitarnya.

Jika ia seorang ibu atau bapa, anak-anaknya akan merasakan ketenteraman setiap kali bersamanya. Jika ia seorang pemimpin di tempat kerja, semua kakitangan bawahannya akan bekerja dengan ikhlas dan penuh semangat.

Jika ia seorang ulama’, maka sifat ini akan menambahkan lagi ilmu dan wibawanya. Imam ahli hadith dan fiqah di Kufah, Waki’ bin al-Jarrah, pernah berkata:-

“Tidak akan sempurna seorang ulama’ sebelum ia belajar daripada orang yang lebih tua daripadanya, yang lebih muda daripadanya dan daripada yang seusia dengannya.”

Sebaliknya, sikap menolak kebenaran kerana faktor usia adalah satu bentuk kesombongan. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:-

“Kesombongan adalah menolak kebenaran dan merendahkan orang lain.” (HR Muslim)

Dan orang yang sombong jauh daripada Allah SWT dan manusia. Jika ia seorang ibu atau bapa, anak-anaknya tidak menyukai kehadirannya dan selalu ingin menjauhkan dari rumah. Jika ia seorang pemimpin kerja, setiap pekerja bawahannya berasa tertekan dan selalu mencari alasan untuk melarikan diri. Jika seorang ulama’, maka semua manusia membencinya sehingga ilmunya tidak dapat dimanfaatkan.

Kelebihan Ibn Abbas

Imam al-Bukhari meriwayatkan bahawa suatu ketika, anggota majlis mesyuarat yang lebih tua tidak setuju dengan sikap khalifah ini iaitu Saidina Umar RA. Mereka berkata:-

“Mengapakah engkau menyertakan Ibn Abbas dalam majlis ini, padahal usianya sebaya anak-anak kami di rumah?”

Saidina Umar RA lalu berniat menunjukkan bakat yang dimiliki oleh Ibn Abbas. Beliau bertanya kepada semua anggota majlis:-

“Apa pendapat kamu semua tentang maksud firman Allah SWT ini: ‘Apabila telah datang pertolongan Allah dan kemenangan?’ (surah al-Nasr 110:1-3)

Mereka menjawab:-

“Ini sebuah perintah agar kita memuji Allah dan beristighfar apabila mendapat kemenangan.”

Saidina Umar RA bertanya kepada Ibn Abbas:-

“Adakah pendapat kamu seperti ini, wahai Ibn Abbas?”

Beliau menjawab:-

“Tidak. Ini adalah pemberitahun ajal Rasulullah SAW. ‘Apabila telah datang pertolongan Allah dan kemenangan’ ertinya ini adalah tanda ajalmu. Maka perbanyaklah bertasbih dan beristighfar.”

Saidina Umar RA berkata:-

“Apa yang aku ketahui sama seperti yang engkau katakan.”

Beliau lalu berkata kepada para sahabat yang lain:-

“Mengapa kamu semua mencela diriku kerana mencintai orang yang memiliki kelebihan sepertimana yang engkau telah saksikan ini?”

Tua tidak selalunya matang dan muda tidak selalunya mentah. Hikmah di tangan Allah SWT, Ia berkuasa memberikannya kepada sesiapa sahaja yang dikehendaki-Nya.

Islam Menghargai Bakat Muda

Sesiapa yang mengkaji sejarah akan melihat bahawa masyarakat Islam generasi awal sangat menghargai bakat-bakat muda. Mereka menghargai suara dan sumbangan seseorang walaupun seseorang itu masih muda usianya.


Masyarakat Islam kala itu tidak menilai seseorang kerana usia dan keturunannya, akan tetapi kerana potensi yang dimilikinya.

Rasulullah SAW pernah melantik ‘Attab bib Usaid menjadi pemimpin kota Makkah, padahal usianya masih 17 tahun. Baginda SAW juga pernah mengangkat Usamah bin Zaid (usia 20 tahun) sebagai ketua pasukan ke negeri Syam, padahal dalam pasukan itu terdapat orang yang jauh lebih tua dan berpengalaman daripadanya.

Apabila khalifah Abu Bakar as-Siddiq berniat membukukan al-Quran, beliau segera memilih Zaid bin Thabit menjadi ketua projek tersebut. Padahal usia Zaid kala itu tidak lebih dari 22 tahun dan ramai orang yang lebih tua daripadanya.

Selanjutnya, khalifah Umar bin al-Khattab RA selalu menyertakan Ibn Abbas dalam mesyuarat tertinggi negara padahal usianya masih awal 20-an, Saidina Umar RA bahkan sering menerima saranan dan nasihat Ibn Abbas dalam banyak perkara.

Dengarlah Suara-Suara Muda

Anak-anak juda adalah aset umat Islam yang tidak ternilai, mereka memiliki potensi yang besar dalam memajukan umat. Ibn Abbas pernah berkata:-

“Tidaklah Allah memberikan ilmu kepada seseorang melainkan pada masa mudanya. Seluruh kebaikan dimiliki oleh para pemuda.”

Oleh sebab itu, kita mesti memberi ruang bagi mereka untuk bersuara dan menyumbangkan buah fikiran segar yang bermanfaat bagi kemajuan umat. Dengarlah dan hormatilah suara-suara mereka kerana hikmah kadang-kadang keluar dari sumber yang tidak kita sangka-sangka.

Saya berani menegaskan bahawa Islam tidak pernah meremehkan suara-suara muda, apalagi membungkamnya. Sesiapa yang mengabaikan suara-suara ini maka ia telah menzalimi mereka, merugikan diri sendiri dan merugikan umat Islam.

Wallahua'lam.