Hartamu Jangan Dimusnahkan, Agamamu Jangan Dihapuskan

“Beramallah untuk duniamu seolah-olah kamu akan hidup kekal abadi dan beramallah untuk akhiratmu seolah-olah kamu akan mati esok hari.”

Kata-kata ini biasa kita ucapkan dan biasa kita dengari.

Maksudnya, kita hendaklah berusaha mencari harta di dunia ini sedaya upaya kita di samping kita juga bersungguh-sungguh mencari akhirat seolah-olah kita akan meninggal dunia esok hari.

Jadi, tidak salah untuk kita mencari harta, bahkan salah kalau kita tidak mencari harta sehingga jatuh miskin dan meminta-minta daripada manusia.

Salah satu maqasid atau daruriyyat al-khams yang disepakati para ulama ialah maqasid memelihara harta.

Hifz al-mal atau memelihara harta direalisasikan melalui hukum-hukum yang ada dalam Islam.

Kedudukan Dan Nilai Harta Dalam Islam


Harta mempunyai kedudukan yang penting dalam kehidupan manusia. Harta menjadi wasilah dalam Islam untuk mencapai matlamat syariat sama ada matlamat di dunia mahupun akhirat.

Seseorang manusia tidak mungkin hidup kecuali dengan harta kerana melalui harta, ia dapat makan dan minum, memakai pakaian, membina rumah dan memenuhi keperluan-keperluan hidup yang lain.

(Rujukan: Al-Qaradawi, Maqasid al-Shari’ah al-Muta’alliqah bi al-Mal, halaman 5)

Tanpa harta seseorang tidak mampu mengeluarkan zakat, membebaskan hamba dan memberikan sumbangan khairat. Sebab itulah al-Quran menganggap harta sebagai qiayama (asas pembangunan) bagi kehidupan manusia.

Allah SWT berfirman yang bermaksud:-
“Dan janganlah kamu berikan (serahkan) kepada orang yang belum sempurna akalnya harta (mereka yang ada dalam jagaan) kamu, (harta) yang Allah telah menjadikannya untuk kamu semua sebagai asas pembangunan kehidupan kamu.” 
Surah an-Nisa’ 4:5
Al-Quran menjelaskan bahawa harta bukan menjadi bala atau bencana kepada manusia, sebaliknya harta disifatkan sebagai satu kebaikan.

Firman Allah SWT yang bermaksud:-
“Dan sesungguhnya ia melampau sangat sayang kebaikan (harta sehingga menjadi tamak haloba).” 
Surah al-‘Adiyyat 100:8
Ayat ini menyifatkan harta sebagai khayr yakni kebaikan. Cuma kita dilarang mencintai harta secara melampaui batas sehingga melupakan akhirat.

Sama jugalah seperti firman Allah SWT mafhumnya:-
“Kamu diwajibkan, apabila seseorang daripada kamu hampir mati, jika ia ada meninggalkan kebaikan (harta), (hendaklah ia) membuat wasiat untuk ibu bapa dan kaum kerabat dengan cara yang baik (menurut peraturan agama), sebagai suatu kewajipan atas orang yang bertaqwa.” 
Surah al-Baqarah 2:180
Jadi, harta adalah satu kebaikan, dan kebaikan perlu dijaga serta dipelihara dalam Islam.

Wajib Memelihara Harta


Oleh kerana harta mempunyai kedudukan dan nilai dalam Islam, maka al-Quran dan Sunnah memberi tunjuk ajar ke arah memelihara dan menjaga harta.

Malah terdapat larangan supaya tidak mensia-siakan harta atau melakukan pembaziran.


Sebagai contoh, dalam fiqah muamalat, Islam mensyariatkan prinsip al-hajr (tegahan daripada menggunakan harta) sama ada ke atas golongan sufaha’ (orang yang belum sempurna akalnya), kanak-kanak kecil atau orang gila.

Tujuannya adalah untuk kebaikan mereka, masyarakat bahkan kebaikan harta itu sendiri agar ia tidak disia-siakan oleh pemiliknya.

Syariat menetapkan bahawa orang yang mempunyai kecacatan pada akalnya, mesti ditegah daripada menguruskan hartanya sendiri sama ada gila atau kurang siuman.

Hikmahnya adalah supaya harta-harta mereka selamat dan terpelihara daripada tangan-tangan yang cuba mengambilnya dengan batil, penipuan dan penyelewengan.

Ia juga bertujuan memelihara harta tersebut daripada menjadi sia-sia akibat ketidakpandaian pengurusan oleh pemiliknya sendiri.

(Rujukan: Al-Mawsu’ah al-Fiqhiyyah, jilid 2, halaman 5871)

Jika seseorang itu jenis pembazir, suka berjoli dengan hartanya, berbelanja pada maksiat dan kefasiqan, maka hartanya perlu ditahan (al-hajr) supaya hartanya dapat dipelihara untuk kebaikan anak-anak si pemilik yang membazir tersebut dan semua tanggungan di bawahnya.

Dalam hadith sahih, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:-
"Sesungguhnya Allah meredhai kamu dengan tiga perkara dan membenci bagi kamu tiga perkara yang lain. 

Dia redha kepada kamu supaya mengabdikan diri kepada-Nya, tidak menyekutukan-Nya dengan sesuatu pun dan supaya kamu berpegang teguh dengan tali Allah, jangan berpecah belah. 

Dan dia membenci (melarang) kamu daripada banyak (qila wa qala) bercerita mengenai hal-hal yang tidak penting, banyak bertanya mengenai benda yang tidak perlu dan mensia-siakan harta.” 
Muttafaq ‘alaih
Ini semua menunjukkan bahawa Islam mengambil berat soal penjagaan harta manusia.

Awas Daripada Fitnah Harta


Walaupun Islam memberikan kedudukan yang istimewa kepada harta, namun Islam turut memberi amaran daripada termakan dengan fitnah harta ini. Kita dilarang menjadi taghut dalam mencari dan mengaut harta.

Kadangkala, manusia hari ini terleka dalam mengejar harta. Tanpa segan-silu mengaut harta di mana-mana sahaja tidak kira halal atau haram. Ketika itu, harta yang tadi disifatkan baik boleh bertukar menjadi pemusnah kepada agama seseorang.

Sebab inilah Allah SWT berfirman yang bermaksud:-
“Sesungguhnya harta benda kamu dan anak-anak kamu itu hanyalah menjadi ujian dan di sisi Allah jualah pahala yang besar.” 
Surah al-Taghabun 64:15
Al-Quran menjelaskan bahawa manusia boleh menjadi taghut dengan sebab dia merasakan dirinya menjadi kaya dan cukup sehingga tidak berhajat lagi kepada Tuhannya.

Firman Allah SWT, mafhumnya:-
“Ingatlah, sesungguhnya jenis manusia tetap melampaui batas (yang sepatutnya atau sewajibnya) dengan sebab dia melihatkan dirinya sudah cukup apa yang dihajatinya.” 
Surah al-‘Alaq 96:6-7

Bahaya bukan wujud pada memiliki harta, tetapi bahaya itu wujud apabila harta boleh memesongkan manusia daripada agamanya. Apabila seseorang tidak menjadikan keimanannya kepada Allah SWT sebagai maqasid utama, harta yang dicari boleh membawa keburukan kepadanya.

Oleh sebab itu, harta hendaklah dihubungkan dengan keimanan kepada Allah SWT dan dihubungkan dengan nilai akhlak. Jika ada hubungan iman, maka agama seseorang tidak akan dihapuskan oleh hartanya.

Begitu juga, sekiranya ada hubungan akhlak, hartanya tidak akan dimusnahkan.

Wallahua'lam