Israk Mikraj, Apabila Iman Mengatasi Akal

Israk Mikraj merupakan satu peristiwa yang tidak logik apabila difikirkan oleh akal manusia yang lemah, tetap ia memang benar-benar berlaku sekiranya dinilai oleh iman.

Inilah antara pengajaran terpenting di sebalik peristiwa tersebut selain daripada kewajipan solat serta keadaan-keadaan penghuni syurga dan neraka.


Keputusan yang dibuat oleh iman mestilah mengatasi akal, sebagaimana yang telah direalisasikan oleh Saidina Abu Bakar RA yang menatijahkan pangkat as-Siddiq kepada beliau.

Peristiwa ini telah diceritakan oleh Rasulullah SAW sendiri dengan panjang lebar dan telah diriwayatkan oleh tokoh-tokoh muktabar dalam ilmu hadith.

Bahkan Imam al-Bukhari dan Imam Muslim telah memperuntukkan satu bab khas mengenai peristiwa Israk dalam kitab masing-masing.

Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud:-
“Sesungguhnya telah didatangkan kepadaku buraq (berwarna putih, saiznya tinggi melebihi keldai dan lebih kecil daripada baghal) lalu aku menunggangnya sehingga tiba di Baitulmuqaddis. 


Aku menambatnya di halaqah pintu masjid al-Aqsa, kemudian aku masuk ke dalamnya dan menunaikan solat dua rakaat. 

Seterusnya aku keluar dan Jibril telah datang dengan dua buah bekas yang mengandungi arak dan susu, lantas aku memilih bekas yang mengandungi susu. 

Jibril berkata:-

‘Engkau telah memilih fitrah.’”

Hadith Riwayat Imam Muslim, Kitab Iman, bab al-Isra’, jilid 34
Hadith ini agak panjang bahkan kepelbagaian riwayat-riwayat lain menjadikannya lebih menarik dan mengandungi banyak hikmah yang boleh digali. Walau bagaimanapun saya tidak bermaksud menghuraikannya satu persatu di sini.

Hanya satu iktibar yang ingin dikongsi bersama pembaca, iaitu apabila bertembung antara akal dan nas (al-Quran dan hadith), maka orang Mukmin mestilah mengutamakan nas. Inilah hakikat iman.

Iman vs Akal

Dalam Sirah Ibn Hisham, disebut bahawa wujudnya individu-individu yang telah murtad disebabkan peristiwa Israk Mikraj. Mereka telah mengutamakan akal dalam menilai peristiwa ini.

Mana mungkin, perjalanan yang kebiasaannya mengambil masa sebulan pergi dan sebulan balik, didakwa oleh Rasulullah SAW hanya berlaku dalam masa satu malam sahaja.

Saidina Abu Bakar as-Siddiq dan para sahabat telah menunjukkan contoh yang sangat unggul apabila terus mengetepikan logik akal apabila mendengar ungkapan Rasulullah SAW dan ayat al-Quran (iaitu surah al-Isra’, ayat 1) berkenaan peristiwa tersebut.

Mereka membuktikan keimanan dan keyakinan yang tidak berbelah bahagi terhadap apa jua yang disampaikan oleh Baginda SAW.

Telah zahir dua kelompok golongan Islam ketika itu, satu kembali murtad dan sekelompok lagi semakin mantap keimanan mereka. Demikian kedua-dua golongan ini akan terus wujud dalam kalangan umat ini apabila bertembungnya iman dan akal dalam sesuatu isu.

Jadikan Prinsip Hidup

“Apabila bertembung antara akal dan nas (al-Quran dan hadith), maka nas mesti diutamakan.”

Sewajarnya kaedah ini dijadikan prinsip dalam kehidupan. Walaupun pada hakikatnya akal yang benar dan tulus akan sentiasa selaras dengan nas, tetapi kadang-kadang manusia sering tewas apabila nafsu menguasai akal.

Sebagai contoh dalam dunia perniagaan, ada yang menggunakan akal lalu mengatakan bahawa mustahil boleh berjaya sekiranya tidak menipu dan terlibat dengan rasuah atau riba’.

Tetapi golongan Mukmin akan bertegas bahawa nas (al-Quran dan hadith) melarang perbuatan tersebut dan keimanan menjamin bahawa rezeki ditentukan oleh Allah SWT.

Demikian juga ketika mencari penyelesaian terhadap masalah-masalah jenayah seperti kecurian, rompakan, pembunuhan dan sebagainya yang berleluasa, nas (al-Quran dan hadith) telah menjelaskan tindakan-tindakan yang sepatutnya diambil untuk mengatasinya, bahkan mengandungi pencegahan agar jenayah itu tidak berulang lagi.

Namun masih terdapat golongan yang tidak beriman mencari jutaan alasan untuk ‘memenangkan’ logik mereka. Maka akibatnya, jenayah semakin berleluasa.


Begitu juga apabila wujud pelbagai kepincangan dalam sistem pentadbiran sesebuah negara sama ada di Timur atau Barat, maka terdapat pelbagai rujukan dalam nas yang terhimpun selama 10 tahun Rasulullah SAW mengurus dan mentadbir negara Islam Madinah dan juga  disusuli oleh Khulafa’ al-Rasyidin.

Malangnya apabila akal diutamakan lalu berbangga dengan tamadun Barat atau Timur ciptaan manusia yang dangkal, maka ketika itu manusia akan terus meraba-raba dalam kegelapan dan tidak akan menjumpai jalan keluar daripada masalah-masalah yang wujud.

Kiaskan kisah ini dalam segenap urusan hidup kita walaupun pada saat golongan logik akal menunjukkan majoriti dan akibatnya mungkin menyakitkan. 

Allah SWT menjanjikan pertolongan-Nya pasti mengiringi golongan yang mengutamakan iman.

Moga peristiwa Israk Mikraj bukan sahaja untuk menyedapkan telinga yang mendengarnya saban tahun, tetapi ia menjadi satu manhaj aqidah yang jelas dan tegas, bagi melayakkan kita untuk bersama-sama dengan Rasulullah SAW di akhirat kelak, di belakang panji keimanan yang dibawa oleh Saidina Abu Bakar as-Siddiq RA.

Wallahua'lam