Memiliki sahabat yang sejati merupakan satu anugerah yang tidak ternilai kerana sahabat boleh mewarnai dan mempengaruhi kehidupan kita, baik dari sudut kebendaan, kecenderungan mahupun tingkah laku.
Sama ada kita yang akan terikut-ikut dengan kecenderungannya, ataupun sebaliknya dia akan terpengaruh dengan kita.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:-
“Perumpamaan dua orang yang bersaudara adalah seperti dua tangan, yang satu membersihkan yang lainnya.”Hadith Riwayat al-Dailami
Rasulullah SAW bersabda, maksudnya:-
“Bersahabat dengan orang yang soleh dan dengan orang yang jahat seperti berkawan dengan pengedar minyak wangi dan tukang besi (yang menghembus bara api).Pengedar minyak wangi, sama ada ia memberi anda sebahagian ataupun anda membeli bau-bauan daripadanya, ataupun sekurang-kurangnya anda mendapat juga bau daripadanya.Manakala tukang besi pula sama ada ia menyebabkan baju anda terbakar, ataupun anda mendapat bau yang kurang enak.”Hadith Riwayat Abu Daud
Oleh sebab itu, kita harus berhati-hati untuk menjadikan seseorang itu sebagai kawan, teman ataupun sahabat. Sahabat semestinya memiliki sifat-sifat yang terpuji untuk kita ikuti dan contohi.
Sahabat boleh membahagiakan kita untuk menempuh kehidupan di dunia ini dan juga membantu kita di akhirat kelak.
Sifat Sahabat yang Mulia
Seorang yang disenangi, mempunyai akal yang baik, berbudi pekerti dan mematuhi perintah Allah SWT. Sering juga mengajak kita melakukan kebaikan untuk diri dan masyarakat. Berbicara dengan penuh kelembutan dan kesopanan.
2. Menutup keburukan dan kekurangan sahabat, baik semasa sahabat ada ataupun tiada
Tidak menceritakan keaiban orang kepada sahabatnya dan jika dia melihat sesuatu yang tidak baik tentang diri kita, dia akan menjaga aib tersebut.
Daripada Ibn Abbas RA, Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud:-
“Sesiapa menutup keburukan saudaranya, maka Allah akan menutup keburukannya di akhirat.”Hadith Riwayat Ibn Majah
3. Memperbesarkan kebaikan yang dilakukan oleh sahabatnya
Sering menanyakan tentang kesusahan yang kita hadapi kerana ingin berkongsi kesusahan, kesedihan dan kesenangan bersama. Menjadi penghibur waktu kita sedih dan pelindung jika kita memerlukan.
Sanggup mengorbankan masa, harta dan tenaga untuk memenuhi hajat sahabatnya.
4. Menyebut kebaikan
Jika dia mendapat sesuatu kebaikan daripada kita, dia akan menghargai dan menyebut-nyebut kebaikan itu. Tidak pula dia berkecil hati jika kita tidak mampu membantunya.
5. Mudah mengalah
Jika berlaku salah faham, nescaya dia lebih senang mengalah untuk menjaga hubungan. Mengorbankan perasaan sendiri demi menjaga hati sahabatnya.
6. Mendorong kita mencapai kejayaan di dunia dan di akhirat
Saling nasihat-menasihati berkenaan hal-hal dunia dan akhirat. Bersedia untuk menerima nasihat dan menasihati.
Sahabat yang Perlu Dijauhi
1. Mementingkan diri sendiri
Dia terlalu banyak meminta dan sedikit memberi, mementingkan diri sendiri dan kedekut dalam setiap perkara. Keutamaannya ialah nafsu diri kerana tamak pada kemewahan dan harta dunia.
2. Pengampu
Setiap perkara yang kita lakukan, dia akan bersetuju tidak kira sama ada perkara itu betul ataupun salah. Apabila di hadapan, dia memuji kita namun di belakang kita, dia merendahkan dan mungkin mengkhianati kita.
3. Pemboros dan suka hiburan
Apabila seronoknya datang, dia menjadi kawan yang setia. Dia senang menjadi sahabat jika kita suka berlibur, berkeliaran dan ‘melepak’ pada bila-bila masa, serta suka ke tempat-tempat hiburan dan meminati hiburan yang melalaikan.
4. Membuatkan kita semakin jauh daripada Allah SWT
Seorang yang sesat dan menyesatkan orang lain serta mendekati jalan-jalan kemungkaran. Hidupnya penuh dengan ranjau dan onak yang membawa kepada kekufuran.
5. Suka berbantah-bantah
Jenis orang yang suka bertikam lidah dan ia merasakan satu kemenangan dalam berhujah dan langsung tidak mahu mengalah untuk menerima pandangan orang lain.
Berhati-hatilah memilih sahabat kerana ia menjadi cermin keperibadian kita. Berkawanlah kerana Allah SWT untuk mencapai redha-Nya.
Wallahua'lam
Blogger Comment
Facebook Comment