Sifat Syurga Allah SWT Dan Nama-Namanya

Allah SWT telah menciptakan manusia, memuliakannya, meninggikan kedudukannya dan menyerahkan kepadanya suatu tugas agung iaitu beribadah kepada Allah SWT semata-mata, melantiknya menjadi khalifah di muka bumi untuk memakmurkannya di atas manhaj Allah SWT dan syariat-Nya. 


Allah SWT menguji manusia dengan memberikan pilihan, sama ada memilih iman atau kekufuran seperti mana firman Allah SWT yang bermaksud:-
“Dan katakanlah (wahai Muhammad):- 



‘Kebenaran itu ialah yang datang dari Tuhan kamu, maka sesiapa yang mahu beriman, hendaklah ia beriman; dan sesiapa yang mahu kufur ingkar, biarlah dia mengingkarinya’

Kerana Kami telah menyediakan bagi orang-orang yang berlaku zalim itu api neraka, yang meliputi mereka laksana khemah; dan jika mereka meminta pertolongan kerana dahaga, mereka diberi pertolongan dengan air yang seperti tembaga cair yang membakar muka; amatlah buruknya minuman itu, dan amatlah buruknya neraka sebagai tempat bersenang-senang.” 

Surah al-Kahfi 18:29
Sama ada manusia itu mensyukuri nikmat atau mengingkarinya, mereka memilih jalan masing-masing di dalam kehidupan dunia ini sedangkan jalan ini adalah jalan yang perlu bersungguh-sungguh dan sentiasa bekerja keras. 

Hidup manusia berakhir dengan kematian manusia dan menemui Tuhannya. 

Ketika itu jelaslah kesudahan dan nyatalah hakikat. Orang Mukmin telah sedar akan hal ini semasa hidupnya dengan baik. Mereka memilih jalan dalam kehidupan dunia ini, iaitu jalan yang lurus dan betul.

Mereka mengetahui betapa besarnya balasan yang Allah SWT sediakan untuk mereka sekiranya mereka menepati janji dengan Allah SWT

Firman Allah SWT yang bermaksud:-
“Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati, dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. 



Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya ia telah berjaya. 

Dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya.” 

Surah Ali-Imran 3:185
Di dalam sebuah hadith daripada Abu Hurairah RA, Nabi SAW bersabda yang bermaksud:-
“Sesiapa yang takut berjalan pada waktu malam dan orang takut berjalan waktu malam tetap sampai ke rumah. 



Ketahuilah, barangan Allah SWT terlalu mahal. 

Ketahuilah, barangan Allah SWT itu ialah syurga”. 

Hadith Riwayat at-Tirmizi
Orang Mukmin daripada generasi pertama telah menyedari bahawa dunia adalah kesenangan yang palsu.


Dunia hanya sebagai jambatan atau laluan menuju ke akhirat. 

Lalu mereka menyeberangi dan menempuhinya dengan kata-kata dan perbuatan mereka. 

Saidina Umar bin al-Khattab RA pernah mengungkapkan yang bermaksud:-
“Orang yang bertakwa kepada Allah SWT nescaya tidak akan kekal kemarahannya. 



Orang yang takut Allah SWT tidak akan berbuat apa yang diingininya. 

Jika tidak kerana akhirat, tentulah akan jadi lain selain yang kamu lihat”.
Kemudian, kepercayaan ini dan keyakinan ini dengan apa yang ada di sisi Allah SWT menjadikan  Anas bin Nadhar memanggil Saad bin Muaz pada hari Perang Uhud sambil berkata:-
“Wahai Saad, sesungguhnya aku telah mencium bau syurga”. 
Para sahabat yang mulia telah mencium bau syurga sebelum dipisahkan dari dunia. Mereka telah diuji dengan ujian yang hebat sehingga ada sahabat pada tubuhnya terdapat lebih 80 tikaman pedang, lembing dan panah dan tidak dapat dikenali melainkan melalui saudara perempuannya. 

Allah SWT telah mengabadikan pengorbanan mereka di dalam al-Quran melalui firman-Nya yang bermaksud:-
“Di antara orang-orang yang beriman itu, ada yang bersikap benar menunaikan apa yang telah dijanjikannya kepada Allah (untuk berjuang membela Islam); maka di antara mereka ada yang telah selesai menjalankan janjinya itu (lalu gugur syahid), dan di antaranya ada yang menunggu giliran; dan mereka pula tidak mengubah (apa yang mereka janjikan itu) sedikitpun.” 
Surah al-Ahzab 33:23
Mudah-mudahan kejujurannya berpanjangan di semua zaman dan tempat dengan perintah dari Allah SWT hingga benar-benar dapat menikmati aura haruman syurga. Marilah kita perhatikan, adakah kita telah mengetahui dengan mendalam tentang syurga seperti mana para salafussoleh mengetahuinya dengan mendalam.

Nama-Nama Syurga dan Maknanya

Syurga ialah negeri akhirat yang Allah SWT sediakan  kepada orang-orang bertaqwa. 

Di dalam syurga terdapat pelbagai jenis nikmat, keriangan, kegembiraan dan penyenang hati yang tidak dilihat oleh mata, tidak pernah didengar oleh telinga dan tidak pernah terfikir di dalam hati manusia.

Berikut merupakan nama-nama syurga yang disifatkan oleh Allah SWT di dalam al-Quran:-

Syurga adalah sebuah negeri yang sejahtera (Dar as-Salam), yang penuh dengan kedamaian dan keselamatan

Melalui firman Allah SWT, yang bermaksud:-
“(Itulah dia kesudahan kehidupan dunia), dan sebaliknya Allah menyeru manusia ke tempat kediaman yang selamat sentosa, dan Dia sentiasa memberi petunjuk hidayah-Nya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut undang-undang peraturan-Nya) ke jalan yang betul lurus (yang selamat itu).”  
Surah Yunus 10:25
Syurga juga sebuah negeri yang kekal (Dar al-Khuld) yang mana penghuninya tidak akan berpindah dari tempat ini selama-lamanya

Firman Allah SWT yang bermaksud:-
“(Mereka dipersilakan oleh malaikat dengan berkata):- 



‘Masuklah kamu ke dalam Syurga dengan selamat sejahtera; hari ini ialah hari (bermulanya) kehidupan yang kekal’.” 

Surah Qaf 50:34

Syurga adalah sebuah negeri tempat tinggal yang kekal (Dar al-Muqamah)

Dari firman Allah SWT yang bermaksud:-
“Dan (sebagai bersyukur) berkatalah mereka:- 



‘Segala puji tertentu bagi Allah, yang telah menghapuskan perasaan dukacita dari kami; Sesungguhnya Tuhan kami Maha Pengampun, lagi sentiasa memberi balasan yang sebaik-baiknya (kepada orang-orang yang taat); Tuhan yang telah menempatkan kami di tempat tinggal yang kekal, dengan limpah kurnia-Nya semata-mata. 

Kami tidak akan merasa penat lelah di situ, dan Kami juga di situ tidak akan merasa letih lesu’.” 

Surah al-Fathir 35:34-35
Syurga adalah sebuah negeri tempat tinggal  (Jannah al-Ma’wa)

Merujuk kepada firman Allah SWT yang bermaksud:-
“Dan demi sesungguhnya! (Nabi Muhammad) telah melihat (malaikat Jibril, dalam bentuk rupanya yang asal) sekali lagi, di sisi ‘Sidratul-Muntaha’; yang di sisinya terletak Syurga ‘Jannatul-Makwa’.” 

Surah an-Najm 53:13-15
Syurga ialah Jannah Adn

Firman Allah SWT yang bermaksud:-
“(Balasan mereka ialah) Syurga - syurga ‘Adn’, yang mereka akan masukinya; mereka dihiaskan di dalamnya dengan gelang-gelang tangan dari emas dan mutiara; dan pakaian mereka di situ adalah dari sutera.” 
Surah al-Fathir 35:33
Syurga ialah negeri yang menjadi tempat kehidupan yang tidak diiringi kehancuran dan kebinasaan seperti kehidupan dunia yang menjadi tempat main-main yang sementara waktu

Firman Allah SWT yang bermaksud:-
“Dan (ingatlah bahawa) kehidupan dunia ini (meliputi segala kesenangan dan kemewahannya, jika dinilaikan dengan kehidupan akhirat) tidak lain hanyalah ibarat hiburan dan permainan; dan sesungguhnya negeri akhirat itu ialah kehidupan yang sebenar-benarnya; kalaulah mereka mengetahui (hakikat ini tentulah mereka tidak akan melupakan hari akhirat).” 
Surah al-Ankabut 29:64

Syurga ialah Jannah al-Firdaus

Merujuk kepada firman Allah SWT yang bermaksud:-
“Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh, disediakan bagi mereka Syurga-syurga Firdaus, sebagai tempat tetamu (yang serba mewah).” 
Surah al-Kahfi 18:107
Syurga ialah tempat tinggal yang disenangi (penuh dengan kebahagiaan, yang bersih dari hiruk-pikuk dan perbuatan-perbuatan dosa)

Melalui firman Allah SWT yang bermaksud:-
“Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa, di tempatkan dalam taman-taman Syurga (yang indah) dan (dekat) beberapa sungai, di tempat yang sungguh bahagia, di sisi Tuhan Yang Menguasai segala-galanya, lagi Yang Berkuasa melakukan sekehendak-Nya.” 
Surah al-Qamar 54:54-55
Keadaan Di Dalam Syurga

Di dalam Sunan Ibn Majah dari Usamah bin Zaid RA berkata (yang bermaksud):-
“Rasulullah SAW bersabda:-


‘Ketahuilah, adakah ada orang yang dipercepatkan ke syurga. Sesungguhnya di syurga suatu tempat yang tidak pernah terdetik di dalam hati manusia tentang kecantikannya. 


Iaitu syurga dan Tuhan Kaabah adalah cahaya yang berkilau dan bauan yang menyenangkan, mahligai yang teguh, sungai yang bersambungan, buah-buahan yang masak, isteri yang baik, cantik dan halal lagi ramai, tempat tinggal yang kekal abadi di dalam rumah yang sejahtera, buah-buahan, kehijauan, kesukaan dan kenikmatan di tempat tertinggi lagi cantik dan luas’


Para sahabat bertanya: ‘Adakah kami termasuk orang yang dicepatkan masuk ke syurga?’ 

Jawab Nabi SAW: ‘Katakanlah insya-Allah’ 

Lalu sahabat menjawab: ‘Insya Allah’.”  
Hadith Riwayat Ibn Majah
Mahligainya pula, dikatakan bahawa di dalam syurga ada mahligai daripada emas dan ada mahligai daripada perak, mahligai daripada mutiara, mahligai daripada intan dan mahligai daripada batu perhiasan yang berkilauan.

Ahli syurga yang berada pada kedudukan terbawah mempunyai rumah daripada mutiara di bilik dan pintunya. 

Rasulullah SAW telah menyatakan tentang bau-bauan di dalam syurga seperti hadith daripada Jabir RA. Bahawa Nabi SAW telah bersabda yang bermaksud:-
“Bauan syurga sudah dapat dihidu sejauh berjalan selama seribu tahun. 



Demi Allah SWT tidak akan dapat menghidunya orang yang menghalang dan memutuskan silaturrahim”. 

Hadith Riwayat at-Tabrani

Sungai-sungai di syurga pula, ianya mengalir tanpa parit di bawah mahligai, rumah dan bilik dan di bawah pokok. Ianya terpancar dari atasnya kemudian mengalir turun ke sejauh-jauh tingkat seperti hadith dari Nabi SAW yang bermaksud:-
“Di dalam syurga ada seratus tingkat yang Allah SWT sediakan kepada para mujahidin di jalan Allah SWT di mana antara dua tingkat itu bagaikan antara langit dan bumi. 



Kalau kamu diberi peluang meminta kepada Allah SWT tentulah kamu akan meminta syurga Firdaus. 
Ketahuilah syurga Firdaus itu syurga terbaik, syurga tertinggi dan di bawahnya ‘Arsy Allah SWT. 

Dari syurga Firdaus terpancar sungai-sungai syurga”. 

Hadith Riwayat al-Bukhari
Wallahua'lam

Share on Google Plus

About Mohd Shahrul

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
    Blogger Comment
    Facebook Comment