Neraca Yang Tidak Seimbang

Perbincangan kita pada kali ini tentang Ikhtilal al-Mawazin iaitu neraca yang tidak seimbang lalu menghasilkan timbangan yang pincang.

Pada zaman kini, banyak ‘afat iaitu virus dan penyakit yang melanda akal dan pemikiran umat Islam, sehingga mereka terkeluar dari landasan yang sepatutnya dan terpesong dari Sirat al-Mustaqim, lalu terbabas ke jalan yang tidak seimbang

Mereka tidak tahu menilai mana yang benar dan mana yang salah, mana yang lebih utama dan mana yang perlu dikemudiankan.

Maka terjadi beberapa perkara yang tidak seimbang atau pincang dalam amalan kehidupan. 

Sama-sama kita membuka minda untuk meneliti apakah neraca yang kita gunakan sekarang ini tepat dan seimbang atau adakah ia senget dan menghasilkan timbangan yang tidak adil dan berat sebelah.

Penyakit Lama Masih Kekal

Hakikatnya di dunia kini, terlalu banyak penyakit-penyakit yang telah lama wujud ini, sehingga tidak dapat dihitung dengan tepat.

Di sini, saya membawa beberapa contoh yang ketara dalam masyarakat untuk dijadikan panduan dan peringatan kita bersama:-

1. Syirik kepada Allah SWT

Kita dapat lihat pada hari ini, tidak dinafikan ramai manusia bersungguh-sungguh melakukan amalan soleh.

Ada yang sentiasa berpuasa sunat setiap bulan mahupun setiap minggu, ke masjid setiap masa sama ada untuk menunaikan solat, tadarus ataupun belajar al-Quran, mendengar kuliah, ceramah dan sebagainya.

Memang itulah yang sepatutnya menjadi amalan harian dalam hidup kita sebagai seorang Muslim yang taat kepada Tuhan yang Esa.

Tetapi malangnya apabila neraca tidak seimbang, kebajikan yang dibina itu telah dihancurkan. Dia sendiri meruntuhkannya dengan melakukan amalan yang bercanggah dengan ajaran Islam, bahkan sesuatu yang amat dicela oleh syarak.

Walaupun ibadatnya banyak, tetapi hatinya juga dipenuhi dengan sifat-sifat mazmumah, sehingga ke peringkat yang paling besar iaitu perbuatan syirik kepada Allah SWT.

Memang kita yakin, orang Islam sekarang tidak menyembah berhala dan seumpamanya secara langsung, tetapi tidak dinafikan masih terdapat lagi mereka yang percaya kepada penunggu-penunggu tunggul kayu dan pokok, pemujaan kuala sungai dengan menjamu jin-jin dan kaum sejenisnya, suka merujuk kepada tukang nujum, tukang tilik, peramal nasib, bomoh dan yang seumpamanya, percaya kepada perkara tahyul, meminta hajat kepada kubur-kubur yang dianggap keramat dan pelbagai lagi perbuatan syirik yang boleh merosakkan aqidah dan iman.

Mereka ini sama ada sedar ataupun tidak, telah melakukan jenayah syariat yang sangat besar dan keji di sisi Allah SWT, sebagaimana dijelaskan dalam beberapa ayat Allah SWT yang bermaksud:-
“Dan sesungguhnya telah diwahyukan kepadamu dan kepada (Nabi-Nabi) sebelummu:-

‘Jika kamu mempersekutukan (Tuhan), nescaya akan terhapuslah amalanmu dan tentulah kamu termasuk golongan orang yang rugi.’” 
Surah az-Zumar 39:65
Allah SWT berfirman yang bermaksud:-
“Itulah petunjuk Allah, yang dengannya dia memberi petunjuk kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya daripada hamba-hamba-Nya. 

Seandainya mereka mempersekutukan Allah, nescaya lenyaplah apa-apa yang mereka telah kerjakan.” 
Surah al-An'am 6:88
“Sesungguhnya telah kafirlah orang-orang yang berkata: ‘Sesungguhnya Allah ialah al-Masih putera Maryam’, padahal al-Masih (Isa sendiri) berkata: 

‘Wahai Bani Israel, sembahlah Allah; Tuhanku dan Tuhanmu.’

Sesungguhnya orang yang mempersekutukan (sesuatu dengan) Allah, maka pasti Allah mengharamkan kepadanya syurga dan tempatnya ialah neraka. 

Tidak ada bagi orang zalim itu seorang penolong pun.” 

Surah al-Ma'idah 5:72
Antara kebiasaan masyarakat kita hari ini, apabila kehilangan sesuatu barang atau harta mereka suka mengunjungi tukang tilik untuk memohon bantuan.

Mengenai hal ini, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:-
“Sesiapa yang pergi bertanya kepada tukang-tukang nujum (yang mengakui mengetahui perkara ghaib) dan bertanya kepadanya tentang di manakah sesuatu (barang yang hilang) itu, maka tidak akan diterima solatnya selama 40 malam.” 
Hadith Riwayat Ahmad dan Muslim
Dalam hadith yang lain, Rasulullah SAW mencela perbuatan ini lebih teruk lagi:-
“Sesiapa yang mengunjungi tukang-tukang tilik untuk menilik nasibnya (masa depan), lalu dia membenarkannya (mempercayai) dengan apa yang dikatakan tukang nujum itu, maka dia telah kufur dengan apa yang telah diturunkan kepada Muhammad SAW (al-Quran)” 
Hadith Riwayat Ahmad
Rasulullah SAW juga bersabda tentang amalan memakai tangkal atau apa-apa jenis azimat seperti hadithnya yang bermaksud:-
“Sesiapa yang menggantung tangkal (azimat), maka dia telah syirik.” 
Hadith Riwayat Ahmad
2. Tidak menghayati al-Quran

Terdapat juga orang yang begitu bersungguh-sungguh belajar al-Quran, belajar tajwid, memperelokkan bacaan, menganjurkan majlis berkaitan al-Quran seperti bacaan al-Quran beramai-ramai (perdana), majlis pertandingan tilawah dan lain-lain, tetapi malangnya mereka tidak beramal dengan apa yang disyariatkan al-Quran, serta tidak menjadikannya sebagai panduan hidup

Malah mereka juga tidak pernah cuba mengangkat atau mempertahankan hukum-hakam dan syariat al-Quran yang dipermainkan.

Ini tidak seimbang dan salah sama sekali, jika hanya menekankan pembelajaran tajwid dan musabaqah al-Quran sahaja, tetapi tidak menghayati dan berfikir (muhasabah) tentang isi kandungan al-Quran.

Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud:-
“Celakalah orang yang membaca al-Quran tanpa berfikir tentang isi kandungan al-Quran.”
Hadith Riwayat Ibn Hibban
3. Waswas yang keterlaluan

Orang yang sangat cermat terlalu menitikberat dan menjaga pakaiannya daripada terpercik air mustaqmal (air yang telah digunakan untuk mengangkat hadas) atau yang mungkin bercampur dengan najis, terlalu berat dalam masalah ini.

Bahkan sampai ke peringkat waswas yang begitu teruk sehingga akhirnya solat di luar waktu!

Sedangkan mereka ini pada masa yang sama tidak menjaga sikapnya daripada perbuatan yang betul-betul haram seperti mengumpat, mengadu domba atau menyebar fitnah terhadap orang lain.

4. Pemurah yang salah jalannya

Ada sesetengah orang yang suka bersedekah tetapi tidak meninggalkan perbuatan keji yang dilaknat Allah SWT seperti mendapatkan harta daripada hasil yang haram seperti riba, pelaburan dan saham yang tidak patuh syariah, skim cepat kaya, peras ugut, sistem gadaian haram dan sebagainya.

Tidak seimbang dalam mencari harta dengan kemasukan yang haram, tetapi menghabiskannya dengan cara yang baik. Mereka tidak warak dari segi mencari harta tetapi cukup pemurah dalam mengeluarkan harta.

5. Tidak mengutamakan yang wajib

Ada orang yang kuat menghidupkan malam (mengikut program yang dianjurkan, bukan atas inisiatif diri sendiri), tetapi malangnya tidak menjaga solat fardhunya, mungkin terlewat atau tertinggal terus.

Perlu kita seimbangkan kedua-duanya. 

Jangan kerana mengejar amalan sunat, sehingga keletihan lalu tertinggal yang wajib.

Menjadi satu ibadat yang amat disukai Allah SWT apabila seseorang hamba-Nya dengan penuh keikhlasan dan keinsafan, bangun bermunajat kepada Allah SWT, ketika orang lain asyik dibuai mimpi. 

Budaya masyarakat hari ini yang suka menganjurkan qiyamulail, solat hajat dan bacaan surah yasin perdana, mungkin ada yang tidak pernah mengamalkannya sendiri sebelum ini. 

Apabila mereka berjaga malam melakukan semua ini, akhirnya mereka balik ke rumah dalam keletihan lalu meninggalkan ibadat yang wajib pula.

Kita perlu seimbangkan kedua-duanya dari awal lagi dan bukan pada saat-saat akhir.

Contoh lain dalam membesarkan yang sunat tetapi tidak mementingkan yang wajib seperti berselisih mengenai bilangan solat Tarawih, hatta meninggalkan yang wajib dalam Islam iaitu menjaga perpaduan jemaah, semata-mata kerana menjaga kepentingan yang sunat.

6. Tidak menjaga mulut, perlakuan dan pancaindera lain

Orang yang banyak berpuasa pada siang hari, mulutnya tidak ‘makan’ rezeki yang halal pada siang itu, namun secara tidak sedar dia ‘memakan’ daging mentah haram saudara seIslamnya yakni dengan mengumpat orang lain dan membuat fitnah yang tidak ada kena-mengena dengannya.

Mereka berpuasa, tetapi menyakitkan saudaranya. Mereka suka duduk di masjid tetapi suka juga menyakiti jiran tetangga.

Begitu juga jiran-jiran masjid (sudahlah tidak ikut berjemaah), jangan pula menyakiti ahli jemaah masjid dengan gangguan muzik-muzik dan lagu yang amat kuat, sebagaimana Allah SWT memberi peringatan kepada orang jahiliyyah melalui ayat yang bermaksud:-
“Dan tiadalah sembahyang mereka di sekitar Baitullah itu kecuali hanya siulan dan tepukan tangan. Maka rasakan azab disebabkan kekufuranmu itu.” 
Surah al-Anfal 8:35
7. Tidak menjaga hubungan kekeluargaan

Ada sebahagian individu yang banyak membuat kebaikan terhadap kawan-kawannya, tetapi tidak kepada keluarga terdekatnya dan saudaranya.

Bahkan sehingga memutuskan silaturahim dan berlepas diri daripada memberi nafkah kepada keluarganya. Ini boleh membawa kepada derhaka dan tidak menunaikan tanggungjawab.

Begitu juga orang yang suka bersedekah kepada mereka yang jauh, bahkan menghantar derma dan bantuan sehingga ke luar negara, sedangkan masih terdapat lagi ahli keluarganya di kampung-kampung yang miskin dan memerlukan bantuan, sehinggakan ada yang meminta derma dan bantuan daripada orang lain pula!

Contoh lain ialah, seperti meninggalkan solat berjemaah kerana tidak suka dengan imam yang tidak berzikir dengan kuat. Sedangkan hakikatnya solat berjemaah itu fardhu kifayah atau wajib bagi sebahagian ulama', manakala zikir itu perkara yang sunat yang boleh kita lakukan sendiri.


Inilah antara contoh-contoh inhiraf, neraca yang rosak, sehingga mengakibatkan timbangan yang tidak seimbang dan kita tidak cuba seimbangkannya.

Manakala punca berlakunya semua ini, tidak diragui lagi adalah kerana terlalu tunduk pada adat istiadat dan pegangan amalan-amalan masyarakat setempat. 

Lalu jauh daripada al-Quran dan sunnah. 

Demikian juga kerana suka mengikut hawa nafsu dan jahil tentang agama, tetapi segan dan tidak mahu belajar dan bertanya. Mungkin juga kelemahan para pendakwah yang tidak berani berterus terang menyatakan kebenaran. 

Justeru penawar tentang prinsip-prinsip (kaedah) umum Islam untuk dibina perkara cabang (furuk) atasnya, serta beramal dengan ajaran al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW.

Wallahua'lam