Ibu Bapa Berketerampilan

Mendidik anak pada zaman milenium tidak sama dengan mendidik anak pada zaman perang Jepun kerana suasana dan budaya yang berbeza

Masyarakat turut berubah seiring dengan ledakan teknologi maklumat.

Oleh sebab itu, ibu bapa perlu berhadapan dengan kemodenan dalam usaha mendidik anak-anak menjadi insan yang positif

Ibu bapa berketerampilan akan menyediakan diri mereka demi untuk mendidik anak-anak, terutamanya dalam arus globalisasi dunia masa kini yang begitu mencabar.

Langkah-Langkah Membentuk Keterampilan Ibu Bapa

#1 Berilmu

Bagaimanakah menjadi ibu bapa yang berketerampilan? 

Carilah ilmu melalui pembacaan buku-buku ilmiah, menghadiri kursus keibubapaan, mendapatkan nasihat daripada orang yang lebih tua, mengikuti rancangan motivasi di televisyen, mendengar CD motivasi dan sebagainya.

Kemahiran serta kaedah mendidik anak-anak, cara memarahi anak-anak, merangsang minda positif, berdoa untuk anak-anak dan sebagainya adalah penting.

#2 Jadi guru kepada anak-anak

Ibu bapa adalah role model kepada anak-anak.

Amalan seharian hidup itulah yang pertama-tama akan ditiru anak-anak. Semakin hari, anak-anak kian membesar. Justeru, ibu bapa perlu bersedia untuk berdepan dengan segala kemungkinan.

Ibu bapa yang berketerampilan mesti bersedia menurunkan ilmu kepada anak-anak. Tugas memberi ilmu tidak semestinya dipikul oleh guru-guru di sekolah. Ibu bapalah guru sebenar anak-anak. Ibu bapa mengajar pengajaran tidak formal di rumah. 

Masa yang ada di sekolah amat terhad. Guru-guru sudah berusaha gigih mengajar dan memberi ilmu kepada anak-anak ketika di sekolah.


Tugas ibu bapa pula ialah mengisi ruang kosong yang tidak dapat diajar di sekolah seperti kemahiran-kemahiran kendiri, memasak, menjahit dan lain-lain. Ajarlah ilmu-ilmu ini seawal mungkin.

Kemahiran seperti ini amat perlu supaya anak mudah berdepan dengan dunia tanpa sempadan ini.

Selain itu, pastikan anak-anak mengamalkan apa yang telah dipelajari di sekolah supaya ilmu yang ada dalam dada anak-anak bermanfaat, ibarat pokok yang berbuah, terutamanya ilmu agama.

#3 Menjawab pertanyaan anak-anak

Ibu bapa sebagai guru yang memberi ilmu buat anak-anak.

Melalui ilmu, ibu bapa sepatutnya mampu menjawab soalan yang dikemukakan oleh anak-anak dan menjadi tempat rujukan mereka. Ramai ibu bapa yang tidak prihatin terhadap perkara ini dan menganggapnya sebagai perkara remeh

Ini jelas apabila ada ibu bapa yang memarahi anak yang kerap bertanya itu dan ini.

Akibat tindakan seperti ini, minat dan semangat anak-anak akan terbunuh. Anak-anak akan menyangka bertanya adalah sesuatu yang salah.

Ibu bapa perlu merangsang semangat ingin tahu anak-anak. Minda anak-anak ini akan berkembang kerana setiap kali persoalan muncul di benaknya, otak semakin bersedia menerima lebih banyak ilmu.

#4 Beri penerangan dengan tepat

Jawapan ibu bapa perlu tepat apabila ditanya anak-anak supaya tidak menyimpang daripada maksud sebenar yang kadangkala boleh memberi kesan pada aqidah anak-anak.

Oleh sebab itu, kebijaksanaan adalah perlu apabila berdepan dengan persoalan anak-anak.

Sebetulnya, berilah penerangan sebenar yang cukup mudah untuk difahami oleh anak kita. 

Jangan anggap anak kita terlalu kecil untuk memahami semua itu kerana persoalan aqidah penting dan anak kita telah didedahkan kepada keesaan-Nya, seawal hari pertama mereka melihat dunia.

Contohnya, apabila si anak melihat jiran mereka yang bukan Islam menyembah tuhan mereka, ibu bapa seharusnya tidak memberi jawapan ringkas seperti:-

“Uncle Chong sedang sembah tuhan dia.”

Mungkin ini akan menimbulkan kekeliruan pada anak-anak seperti:-

“Bukankah Allah hanya satu? Adakah wujudnya banyak tuhan?”

Ibu bapa boleh memberi jawapan seperti:-

“Uncle Chong sedang menjalankan upacara agamanya. Kita menyembah Allah tetapi mereka menyembah patung yang tidak bernyawa sedangkan patung tidak boleh buat apa-apa. 

Allah sahaja yang layak disembah kerana dia yang menciptakan manusia dan seluruh alam ini.”

#5 Bijak bertindak

Ibu bapa yang berilmu semestinya berhikmah dalam segala tindakan dan bertindak dengan bijak. Jangan mudah melatah apabila berdepan dengan apa jua situasi yang kadangkala tidak diduga.

Ibu bapa yang berketerampilan bukan hanya tahu menjerit dan memarahi anak-anak sebaliknya tenang dan bertindak dengan penuh bijaksana.

Ini adalah beberapa kesan mengamalkan ilmu di dada:-

Situasi 1: Memarahi Anak

Contoh:-

“Ini kali ketiga kamu tak buat kerja rumah. Papa dah banyak kali pesan siapkan kerja rumah sebelum tidur. Sebab kamu dah buat silap kali ketiga, papa denda kamu tak boleh tengok TV malam ini.”

Tindakan:-
  • Jangan marah anak di hadapan orang lain
  • Jangan marah dengan menggunakan perkataan yang tidak elok seperti: Kamu ini pemalas betul atau Kamu ini bodoh sangat kerana kata-kata itu merupakan doa
  • Beri hukuman yang sewajarnya yang boleh memberi manfaat kepada anak seperti menyuruhnya mengelap air yang ditumpahkannya. Ini akan mengajarnya bertanggungjawab terhadap perbuatan salahnya
  • Ibu bapa perlu memukul atau merotan anak jika tidak menunaikan solat apabila sampai umur 10 tahun tetapi tidak boleh memukul pada bahagian muka, telinga dan yang tidak sepatutnya.

Situasi 2: Menasihati dan Menegur Anak

Contoh:-

“Mama tak ajar Nizam cubit-cubit adik, tau. Jadi, lain kali Nizam jangan ulangi lagi ya.”

Tindakan:-
  • Nasihati secara lembut dan penuh kasih sayang kerana nasihat yang disertakan kasih sayang akan menyentuh hati anak sedangkan kekerasan akan menjadikan anak bertambah degil. Namun kekerasan boleh digunakan dalam situasi tertentu (tidak kerap)
  • Beritahu anak bahawa anda sayang kepadanya, yakni kita menasihati mereka bukan sebab benci tetapi sayang
  • Jangan ada percanggahan antara ibu bapa. Contohnya, bapa menasihati anak meninggalkan perbuatan tertentu tetapi ibu mengizinkan pula. Ini akan menyebabkan anak keliru
  • Pilih waktu yang sesuai untuk menegur anak seperti selepas solat, selepas membaca al-Quran, sebelum anak masuk tidur, semasa anak hampir terlena atau pun selepas anak mandi.
  • Jangan menasihati atau mengajar anak ibarat ketam mengajar anaknya berjalan betul. Nasihatilah sesuatu yang ibu bapa sendiri sudah dilakukan
Situasi 3: Memberi Arahan kepada Anak

Contoh:-

“Najihah, tolong ibu ambilkan lampin adik. Lampin adik ada dalam laci paling bawah ya, sayang.”

Tindakan:-
  • Beri arahan secara jelas, tepat dan dengan nada lembut supaya anak dapat memahami dan bertindak dengan betul.
  • Hargai anak selepas melaksanakan arahan dengan memberi ganjaran seperti ciuman, dakapan dan ucapan terima kasih.
  • Elakkan memberi ganjaran berbentuk wang kerana ini akan melatih anak melakukan sesuatu kerana mengharapkan ganjaran kebendaan.
Situasi 4: Menyatakan Larangan

Contoh:-

“Amir, jangan main bola berhampiran jalan raya, takut nanti dilanggar kereta. Pergi main di padang permainan.”

Tindakan:-
  • Melarang anak dengan cara berhikmah.
  • Menyatakan sebab larangan supaya anak tahu bahawa larangan itu bersebab.
  • Beri alternatif kepada anak-anak apabila kita melarangnya daripada melakukan sesuatu.
  • Ibu bapa mesti mematuhi larangan yang mereka gariskan kepada anak.

Situasi 5: Memberi Pujian

Contoh:-

“Pandai anak ibu mandi dan pakai baju sekolah sendiri. Ibu seronok tengok Amirul pandai urus diri sendiri. Esok Amirul cuba pakai kasut sekolah sendiri pula, ya.”

Tindakan:-
  • Iktiraf sebagai usaha anak walaupun tidak menunjukkan hasil yang cemerlang
  • Pujian boleh meningkatkan keyakinan diri anak dan mereka rasa dihargai.
  • Pujian kepada perbuatan positif menggalakkan anak mengulangi perbuatan yang sama, sekaligus menjadi amalan hidup seharian.
  • Elakkan menggunakan pujian yang sama setiap kali memuji.
  • Elakkan memuji keterlaluan sehingga anak tidak tahu membezakan yang baik dan buruk.
Situasi 6: Berkomunikasi dengan Anak

Contoh:-

“Mama, Lin rasa elok kita pergi beli barang dapur dahulu sebelum pergi rumah Mak Ngah. Boleh kita beli apa-apa sebagai buah tangan.”, kata Lin.

“Betul juga, Mama pun tidak ada apa-apa nak bawakan untuk Mak Ngah kamu.”

Tindakan:-
  • Dengar pandangan anak-anak kerana adakalanya pandangan mereka bernas.
  • Sentuhan (pelukan, pegang tangan anak) juga penting semasa proses komunikasi.
  • Dengarlah setiap celoteh mereka dengan penuh minat. Dengan ini ibu bapa akan menjadi tempat meluahkan apa-apa sahaja. Anak tidak lagi mencari kawan untuk berkongsi perasaan atau perkara peribadi.
  • Berkomunikasilah seperti seorang kawan supaya anak berasa selesa berkomunikasi terutamanya apabila mereka meningkat remaja.
Wallahua'lam