Membentuk Tingkahlaku Mukmin Super

Setiap perubahan yang ingin dilakukan perlu bermula dari hati. Tingkahlaku seseorang itu tidak akan berubah sekiranya hatinya masih terhijab dengan maksiat dan dosa.


Benarlah sabda junjungan agung, Nabi Muhammad SAW berkenaan hati:-
“Ketahuilah bahawa dalam diri ini terdapat seketul daging. Jika ia baik, maka baiklah seluruh tubuh ini dan jika ia buruk, maka buruklah seluruh tubuh. Ketahuilah bahawa ia adalah hati.” 
Hadith Riwayat al-Bukhari dan Muslim
Hadith di atas menjelaskan bahawa hati menjadi pemain utama kepada nadi perubahan seseorang individu. Ia juga yang akan memandu minda dan tingkah laku untuk melakukan sama ada kebaikan ataupun kejahatan. 

Mari kita sama-sama hayati bagaimana tingkahlaku yang dibentuk oleh hati-hati Mukmin Super (Rasulullah SAW dan para Sahabat) yang telah berjaya membina satu tamadun yang agung dan hebat.

#1 Mempunyai Minda Wasatiyyah


Imam Ibn Kathir melalui tafsirnya Tafsir al-Quran al-Azim  tentang surah al-Baqarah ayat 143 menjelaskan perkataan ‘wasatho’ bermaksud yang terbaik, cemerlang dan gemilang.

Inilah minda Rasulullah SAW dan para Sahabat Baginda SAW ketika menjalani kehidupan seharian, berdakwah dan menyebarluaskan agama Islam. Mereka sentiasa melakukan yang terbaik dan berusaha untuk mencapai kecemerlangan.

Model Wasatiyyah I – Rasulullah SAW dan Taif


Lihat sikap Baginda SAW ketika Baginda SAW keluar berdakwah ke Taif pada bulan Syawal tahun ke-10 kenabian. Sejurus sampai di Taif, Baginda SAW dihalau keluar, dimaki hamun malah dilontarkan batu.

Keperitannya sangat dirasai sehingga kasut Baginda SAW dipenuhi dengan darah akibat lontaran batu oleh orang bodoh dan khadam-khadam yang berada di sana.

Ketika pulang ke Makkah, Allah SWT menghantar Jibril bersama malaikat penjaga gunung. Jibril meminta Baginda SAW mengarahkan malaikat penjaga gunung agar menghempaskan dua bukit ke atas penduduk Taif.

Lalu apakah tindakan Baginda SAW?

Adakah Baginda SAW memerintahkan malaikat gunung untuk melakukannya?

Tidak sama sekali. Sebaliknya Baginda SAW bersabda yang bermaksud:-
“Malah aku mengharapkan agar Allah mengeluarkan dari sulbi mereka orang yang akan menyembah Allah tanpa mensyirikkan dengan sesuatu.”
(Rujukan: Sahih al-Bukhari no. 458 dan Muslim no. 109)

Begitulah tingkahlaku seorang insan agung yang sentiasa melakukan yang terbaik dengan usahanya sendiri (berusaha di samping bertawakal kepada Allah SWT).

Baginda SAW tidak pernah kenal erti putus asa kerana dalam diri Baginda SAW terdapat ciri-ciri wasatiyyah (berusaha melakukan yang terbaik dan ingin menjadi cemerlang).

Model Wasatiyyah II – Para Sahabat dan Badar


Sejarah telah menyaksikan bilangan dan kelengkapan peperangan tentera Muslim dalam peperangan Badar adalah sedikit berbanding tentera musuh.

Namun, adakah bilangan yang sedikit itu menghalang para sahabat daripada meneruskan misi mereka?

Tidak sekali-kali, kerana mereka yakin usaha terbaik yang dilakukan akan membuahkan kejayaan.

Justeru, angka yang banyak bukanlah penjamin kepada sesuatu kejayaan. Kadangkala yang sedikit itu lebih berkualiti daripada yang banyak. Kualiti diri inilah yang ditanamkan oleh Rasulullah SAW ke dalam minda para sahabat.

Minda yang sentiasa inginkan kecemerlangan dan kegemilangan serta bersedia menghadapi badai  yang menunggu di hadapan.

#2 Mempunyai mindset yang Jelas


Rasulullah SAW merupakan seorang pemimpin yang memahami dan mempunyai mindset yang jelas. Ketika memimpin, Baginda SAW memotivasikan, memahamkan dan mempengaruhi umat Islam ke arah mencapai halatuju yang telah ditetapkan.

Kejelasan mindset ini bukan hanya ada pada diri Baginda SAW, tetapi difahami juga oleh pengikutnya. Ini dapat dilihat melalui penjelasan yang dilakukan oleh Jaafar bin Abi Talib kepada Najashi; pemerintah Habsyah dalam peristiwa penghijrahan pertama umat Islam iaitu ke Habsyah, katanya:-
“Wahai Raja! Kami sebelum ini jahil dan menyembah berhala. Kami pernah makan bangkai binatang, membuat perkara buruk dan menyakiti jiran-jiran kami.

Ada yang kuat antara kami menindas yang lemah, sehingga akhirnya Allah mendatangkan Rasul untuk menyelamatkan kami. Kelakuan, akhlak, kebenaran dan amanahnya amat mempesonakan kami.

Dia mengajak kami menyembah Allah dan menyuruh kami meninggalkan kekufuran dan menyembah berhala. Dia mengajar kami bercakap benar, menyempurnakan amanah dan menghormati kaum kerabat dan berbuat baik kepada jiran. 


Dia mengajar kami supaya menjauhi pertumpahan darah. Dia melarang kami daripada melakukan perkara keji seperti bercakap bohong dan menuduh perempuan baik melakukan maksiat. 


Oleh sebab itu kami percayakannya dan mengikutnya dan melaksanakan segala ajarannya.” 

Kitab Al-Mawdudi, 1984

#3 Mementingkan Ilmu


Islam mengutamakan ilmu dalam setiap perkara. Keutamaan ini berdasarkan wahyu pertama yang diturunkan oleh Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW.

Antara perkara awal yang dilakukan oleh Rasulullah SAW setelah mendapat wahyu adalah mengadakan halaqah ilmu bersama-sama para sahabat.

Sebagai contoh, pada peringkat permulaan penyebaran agama Islam, Baginda SAW berkumpul bersama-sama para sahabat di rumah al-Arqam bin Abi al-Arqam yang terletak di Bukit Safa. 

Baginda SAW menjadikan rumah tersebut sebagai pusat dakwah dan pusat penyebaran ilmu.


#4 Menentang Jahiliyyah dalam Diri


Antara amalan masyarakat jahiliyyah suatu ketika dahulu ialah kegemaran meminum arak. Ketika Allah SWT menurunkan ayat pengharaman arak, satu perubahan drastik dapat disaksikan.

Antaranya:-
  • Anas bin Malik yang mendengar ayat tersebut (beliau ketika itu sedang memegang dulang berisi gelas-gelas arak) telah mencampakkan dulang tersebut ke tanah kerana menurut perintah Allah SWT
  • Saidina Umar RA apabila mendengar perintah tersebut, beliau terus balik ke rumah dan memecahkan tong-tong arak yang terdapat di dalam rumahnya
  • Ada riwayat yang menyebut kota Madinah ketika itu seolah-olah menjadi banjir lantaran tindakan para sahabat yang memecahkan tong-tong arak yang dimiliki oleh mereka.
Begitulah perilaku para sahabat yang mengambil tindakan segera menentang dan membuang sifat buruk yang mereka warisi sejak turun temurun lagi. Bagi mereka, yang halal tetap halal dan yang haram tetap haram walaupun ia bertentangan dengan amalan tradisi mereka.

#5 Mengutamakan Keluarga Bahagia


Rasulullah SAW telah menunjukkan contoh yang terbaik kepada kita tentang cara untuk membina sebuah keluarga yang harmoni.

Antara pendekatan yang diambil oleh Rasulullah SAW ketika bersama para isterinya adalah dengan berbincang bagi mencari penyelesaian masalah. Oleh sebab itu, setiap suami dan isteri perlu sentiasa berbincang bagi membuat keputusan , mencari idea dan menyelesaikan masalah samaada berkenaan perkara yang berkaitan dengan keluarga atau masyarakat.

Perbincangan yang dilakukan adalah untuk mencari kata sepakat agar kedua-dua pihak iaitu suami dan isteri berpuas hati dengan keputusan yang diambil.


Selain isteri, Rasulullah SAW juga sentiasa mengambil berat terhadap anak-anak Baginda SAW.

Rasulullah SAW memerintahkan ibu dan bapa agar sentiasa bersikap mulia dan menunjukkan teladan yang baik kepada anak-anak mereka sepertimana hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, bahawa Baginda SAW bersabda yang bermaksud:-
“Sesiapa yang berkata kepada anaknya:-

‘Ke marilah! (nanti aku beri)’, tetapi tidak memberikannya, maka dia seorang pembohong.” 

Hadith Riwayat Ahmad
Wallahua'lam