Berbeza Demi Cinta

Perkahwinan bermula di syurga antara Nabi Adam AS dan Hawa, maka begitulah perumpamaan bagi setiap perkahwinan anak cucunya. Semuanya bermula bagaikan di syurga.


Namun, itu belum cukup menjanjikan syurga tu kekal abadi. Dua manusia yang berkahwin mesti bertanggungjawab untuk mengekalkan keadaan syurga dalam rumahtangga mereka.

Salah satu perkara yang penting untuk mengekalkan keharmonian itu adalah bijak menerima dan menangani perbezaan. Jika ada orang yang meletakkan seratus peratus persamaan sebagai satu syarat dalam menentukan keharmonian sebuah rumahtangga, dia silap.

Harus diingat, serapat mana pun hubungan antara suami dan isteri, mereka berdua tetap insan yang berbeza sebelum berkahwin. 

Perbezaan itu bukan untuk dihapuskan, tetapi untuk diuruskan.

Bagaimana?

Mengurus Perbezaan

Pertama, mesti diakui dahulu realiti wujudnya perbezaan itu. 

Ya, katakan, ‘aku dan dia mesti berbeza’. Bukan sahaja luaran, bahkan dalaman. Jika si kembar siam dari Iran; Ladan dan Laleh itu pun berbeza, apalagi suami isteri yang ibu bapa, latarbelakang, cara dibesarkan dan pendidikan berlainan. 

Dengan perbezaan itulah kita membina perkongsian yang lengkap-melengkapi.

Bijak menguruskan perbezaan adalah satu seni dalam pengurusan rumahtangga. Bukankah dengan warna yang berbeza, Allah SWT ‘melukiskan’ alam yang indah ini untuk manusia?

Jika semuanya sama warna, sama rasa, sama bentuk...dunia akan menjadi sebuah tempat yang bosan untuk dihuni. Allah Maha Tahu tentang itu.

Maka begitulah sewajarnya ‘lukisan alam’ rumahtangga kita. 

Perbezaan itu akan memberikan keindahan. Namun, perlu dipastikan setiap perbezaan adalah ‘perbezaan yang sama’ (the same differences). 

Apakah yang dimaksudkan dengan perbezaan yang sama itu?

Begini, prinsip ataupun sistem nilai antara suami dan isteri tidak boleh berbeza. Ia mesti sama. Tetapi yang berbeza cuma cara atau pendekatan untuk menangani sesuatu masalah, keadaan atau suasana itu. Berbeza dari segi pendekatan bukan pendirian

Itulah maksud perbezaan yang sama.

Contohnya dalam menangani masalah pendidikan anak-anak. Kedua-duanya mesti bersetuju bahawa anak-anak mesti dididik atas dasar aqidah, syariah dan akhlak islamiah. Untuk itu, anak-anak wajar dihantar ke sekolah yang mempunyai asas-asas pendidikan itu.

Kedua-duanya mesti bersetuju atas prinsip itu. 


Cuma dalam memilih sekolah, mungkin ada perbezaannya. Mungkin faktor lokasi, watak guru, prasarana sekolah dan berbagai-bagai lagi faktor yang membezakan pilihan antara suami dan isteri.

Kebersamaan dalam Perbezaan

Mengapakah pendirian mesti sama sedangkan pendekatan boleh berbeza?

Sebenarnya, imej atau gambaran ‘dari dalam diri’ apabila melihat sesuatu yang berlaku di luar sangat mempengaruhi tafsiran kita terhadapnya. Tafsiran, perasaan dan imej yang terbentuk dari dalam diri akibat sesuatu peristiwa lebih penting daripada peristiwa itu sendiri.

Dua orang yang melihat satu perkara, peristiwa atau situasi yang sama tidak semestinya mempunyai gambaran, imej, fikiran dan perasaan yang sama. Walaupun hal luaran itu sama, tetapi kesan kepada individu yang melihatnya tidak sama. Hakikat ini mesti difahami dengan baik oleh suami isteri.

Ingatlah ‘maried couples have to realize that the problem is not “us” but the situation’.

Rangsangan luaran dan respons dalaman tidaklah mesti sama. Sesuatu yang hitam di luar, tidak semestinya hitam juga di dalam. Perbezaan tafsiran, perasaan dan fikiran berlaku dalam diri seseorang itulah yang menentukan keserasian antara seseorang dengan pasangannya.

Oleh sebab itu, keyakinan (dalam konteks ini aqidah) mempunyai kesan yang sangat besar terhadap pancaindera yang lima apabila berdepan dengan sesuatu peristiwa.

Sesiapa yang mempunyai iman yang kuat, maka pancainderanya akan mentafsirkan, merasai dan memberi gambaran yang selaras dengan syariat. 

Inilah yang dikatakan pendirian!

Atas dasar itu, suami dan isteri mempunyai pendirian yang sama dan teguh dari segi aqidah. Selagi sistem keyakinan mereka sama, yakni berpegang kepada nilai iman dan Islam, selagi itu pandangan hidup dan sikap mereka sama.

Boleh berbeza watak, boleh berbeza karakter tetapi tetap dalam kerangka akhlak islamiah.

Inilah yang akan mewujudkan kebersamaan dalam setiap perbezaan.

Inilah rahsia mengapa, Rasulullah SAW menganjurkan agar lelaki yang soleh memilih calon isteri yang kuat pegangan agamanya berbanding rupa, harta dan keturunan. Selagi prinsip ini sama, selagi itulah perbezaan tidak akan menjadi satu pertentangan.

Mengakui dan Meraikan Perbezaan

Misalnya, suami dan isteri mestilah sama dalam memberi makna pendidikan yang baik untuk anak-anak. Siapa anak yang soleh atau solehah itu, mesti sama maknanya antara ibu dan bapa. Jangan ibu mentafsirkannya dengan cara lain, bapa pula mentafsirkannya dengan cara lain. 

Akibatnya, anak-anak akan menjadi ‘rojak’, pandangan hidupnya akan menjadi cacamarba. Apa yang benar, baik dan betul mestilah sama. Jadi, itu ialah soal prinsip yang mutlak sifatnya.

Namun, cara mendidik untuk menjadi anak yang soleh itu boleh berbeza. Itu soal yang relatif

Ibu mungkin lebih lembut dan berdiplomasi. Tetapi bapa mungkin lebih tegas, jelas dan terbuka. Namun arah dan tujuan hidup tetap sama. Tidur berbeza bantal, tetapi impian tetap sama!


Jadi, marilah kita akui bahawa kita diciptakan berbeza. Bukan sahaja mengakuinya tetapi meraikannya. Perbezaan bukan satu pertentangan, ia satu keindahan

Tidak ada satu pasangan pun yang serba cocok dan serba sama. Itu hanya mimpi, bukan impian, impiannya adalah, kita mesti belajar memaafkan dan menghormati pasangan dalam menghadapi perbezaan itu.

Belajarlah untuk menghormati perbezaan dan mengelakkan krisis dalam bentuk kata-kata, tindakan ataupun sekadar rasa hati akibat perbezaan itu. Jangan sekali-kali kita beranggapan perbezaan itu kerana nasib buruk, aura tidak sepadan atau hilangnya rasa penghormatan pasangan terhadap diri kita.

Jangan Berubah Prinsip...

Kita pernah dikejutkan oleh pasangan yang meminta cerai gara-gara percaya bahawa tarikh lahirnya dengan tarikh lahir suami atau isterinya tidak akan menghasilkan perkahwinan yang harmoni.

Kononnya, menurut firasat berdasarkan tarikh lahir itu mereka akan selalu bertengkar, duit sentiasa tidak cukup, anak-anak tidak akan berwajah cantik atau cerdik dan sebagainya.

Padahal itu semua tipuan syaitan sebagai alasan untuk melepaskan diri daripada tanggungjawab mendidik anak-anak, menyelesaikan konflik sesama mereka atau sama-sama gigih berusaha meningkatkan ekonomi keluarga. 

Isteri yang meminta cerai atas sebab-sebab itu ialah isteri yang telah berubah hati. 

Sekiranya dia tidak berubah hati, pasti dia akan berusaha untuk mengatasi masalah-masalah itu walaupun mungkin pada awalnya masalah itu menyebabkan dia berbalah dengan pasangannya!

Perkahwinan yang berjaya bukanlah perkahwinan yang sunyi daripada  perbalahan, tetapi setiap perbalahan yang berlaku menjadi peluang untuk membina kejujuran dan persefahaman yang lebih baik.

Perbalahan ialah satu proses untuk membina kematangan dalam menguruskan perbezaan.

“Mungkin pandangan suamiku benar.”

“Mungkin pandangan isteriku benar.”

Itulah suara hati yang perlu ada apabila berlaku satu perbalahan. Setiap diri mesti merasakan bahawa dirinya tidak akan sentiasa betul, benar dan baik selama-lamanya. Pasti ada ketikanya dia bersalah, tersilap atau terlepas pandang.

Jika perkara ini sentiasa ada dalam minda dan jiwa kita, insya-Allah segala perbezaan akan dapat diuruskan dengan baik.

Biar Berbeza Pendekatan, Usah Berbeza Keyakinan

Perbezaan juga jangan dibiarkan sehingga mewujudkan suasana sunyi dalam rumahtangga. Masing-masing takut mengeluarkan suara atau bertindak kerana bimbang akan berlaku perbalahan.

“Cakap sedikit pun nanti disalahkan juga.”, bisik hati suami.

“Kalau buat macam ini, mesti kena marah.”, kata isteri dalam hati pula.

Akhirnya kedua-duanya tidak bersuara.

Berapa banyak pasangan yang menjalani kehidupan rumahtangga yang muram dan suram:-

Dia bangun tidur, aku bangun....anak-anak pun bangun. 

Aku makan, dia juga makan....anak-anak juga makan. 

Dia keluar bekerja, aku pun ada kerja....anak-anak ke sekolah.

Begitulah rutin hidup yang menjemukan. Semuanya gara-gara takut dan ‘lari’ daripada menghadapi perbezaan.


Inilah realiti rumahtangga kini, bersuara, bergaduh. Diam, memendam dendam. Apabila diperhalusi secara tulus dan telus, masalahnya bukan perbezaan pendekatan lagi tetapi kerana merebak kepada perbezaan keyakinan....percayalah.

Jika hanya berbeza cara, mudah kita berbincang, mengungkai, memaafkan dan melupakannya. Tetapi jika berbeza jiwa, payahlah untuk didamaikan kerana ia sudah meretakkan cinta.

Untuk sama-sama mencintai, tidak cukup dengan hidup bersama kerana ‘marriage is loving together, not just living together’

Untuk mencintai, terimalah dan raikanlah perbezaan. Itulah hakikat cintaberbeza demi cinta. Kita tersilap jika hanya menjunjung dan mengagungkan persamaan hanya untuk hidup bersama, bukan untuk saling mencintai sesama.

Untuk cinta....dia dan kita mesti berbeza!

Wallahua'lam