Kisah Nabi Muhammad SAW - Perang Mut'ah

Allah SWT berfirman yang bermaksud:-
“Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu bertemu dengan orang-orang kafir yang sedang memerangi mu, maka janganlah kamu membelakangi mereka (berundur).

Barangsiapa yang membelakangi mereka (berundur) diwaktu itu ,kecuali berundur untuk (siasat) perang ataupun hendak mengabungkan diri dengan pasukan yang lain, maka sesungguhnya orang itu kembali dengan membawa kemurkaan dari Allah. 

Dan tempatnya adalah neraka Jahannam. 
Dan amat buruklah tempat kembalinya.” 
Surah al-Anfal 8:15-16
Huraian Ayat

Dalam ayat ini Allah SWT menyeru orang-orang yang beriman sekiranya mereka keluar berperang melawan orang-orang kafir, janganlah melarikan diri atau berundur dari medan perang, meskipun bilangan tentera musuh lebih ramai dan lengkap bersenjata

Sebaliknya hendaklah bertahan kerana Allah SWT akan sentiasa bersama-sama membantu tentera Islam. 

Kemudian Allah SWT mengingatkan barangsiapa yang berundur maka dia menempah kemurkaan Allah SWT dan tempatnya adalah neraka Jahannam dan itulah tempat yang seburuk-buruk balasan. 

Dalam ayat 16 juga Allah SWT menyatakan:-
 “…..kecuali berundur untuk (siasat) perang ataupun hendak mengabungkan diri dengan pasukan yang lain....”. 
Maksudnya melainkan berundur untuk memancing musuh supaya mereka mengejar tentera Islam sehingga mereka berpisah sesama rakan, lalu tentera Islam menyerang mereka semula, tidaklah mengapa.

Atau berundur untuk menggabungkan diri dengan pasukan tentera Islam yang lain, juga diharuskan. 

Dalam Islam, melarikan diri dari medan peperangan adalah satu daripada tujuh dosa-dosa besar yang diharamkan oleh Allah SWT

Dalam sebuah hadith, Nabi SAW bersabda:- 
‘Jauhilah diri kamu daripada tujuh dosa yang boleh membinasakan.’

Baginda ditanya:-

‘Apakah dosa itu ya Rasulullah?’ 

Baginda bersabda:- 

‘Syirik kepada Allah, melakukan sihir, membunuh jiwa yang diharamkan oleh Allah melainkan dengan jalan yang benar, memakan harta anak yatim, memakan riba, lari dari medan perperangan dan menuduh perempuan yang suci melakukan zina.’ 
Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim
Kalau dilihat kepada sejarah peperangan di zaman Rasulullah SAW, tiada satu peperangan pun yang melihatkan tentera Islam berundur dari medan perang melainkan peperangan Mu’tah

Selepas Perjanjian Hudaibiyah

Dalam tahun ke 6 Hijrah, Nabi SAW telah menandatangani perjanjian Hudaibiyah dengan orang-orang Musyrikin Makkah di mana salah satu klausa perjanjian tersebut ialah gencatan senjata selama 10 tahun.

Dalam tempoh itu juga kedua-dua belah pihak iaitu Makkah dan Madinah bebas mengadakan hubungan diplomatik dengan mana-mana negara mahu pun kabilah tetapi tidak boleh membantu mereka sekiranya mereka berperang antara satu sama lain. 

Setelah perjanjian ini termeterai Nabi SAW mengambil langkah untuk menyampaikan dakwah sekaligus menjalinkan hubungan diplomatik dengan beberapa kerajaan dan empayar-empayar besar di sekeliling Madinah


Antara negara yang Nabi SAW tumpukan ialah Habsyah yang diperintah oleh Raja Najasyi. Nabi SAW mengutus Amru bin Umaiyah untuk mengajaknya memeluk Islam.

Raja Najasyi menyambut utusan Nabi SAW dengan baik dan akhirnya menerima seruan Nabi SAW untuk menganut agama Islam

Selain itu, Nabi SAW juga memberi tumpuan kepada kerajaan Mesir

Baginda SAW menghantar Hatib bin Abi Balta'ah untuk menyeru Raja Mauqaqis memeluk Islam. Berbeza dengan Raja Najasyi, Raja Mauqaqis enggan memeluk Islam, tetapi melayani utusan Nabi SAW dengan baik dan penuh penghormatan.

Selain itu baginda menghadiahkan Hatib bin Abi Balta'ah sepersalinan  pakaian, dan mengirimkan dua wanita jariah berbangsa Qibti kepada Nabi SAW iaitu Mariah dan Sirin. Rasulullah SAW menerima Mariah dan bernikah dengannya serta memperolehi zuriat yang bernama Ibrahim.

Manakala Sirin, Nabi SAW nikahkan dengan seorang sahabat yang bernama Hassan bin Thabit. 

Nabi SAW juga mengutus seorang sahabat iaitu Abdullah bin Huzafah as-Sahmi untuk bertemu pemerintah Parsi iaitu Raja Kisra.

Namun apabila membaca surat Nabi SAW yang mengajaknya memeluk Islam, Raja Kisra marah dan mengoyak-ngoyakkan surat Nabi SAW dengan angkuh dan sombong.

Apabila Abdullah bin Huzafah as-Sahmi pulang memaklumkan perihal Raja Kisra kepada Nabi SAW, Baginda SAW bersabda, semoga kerajaan Parsi akan hancur. 

Maka benarlah sabda Nabi SAW, kerajaan Parsi yang diperintah oleh Raja Kisra akhirnya hancur, dihancurkan oleh rakyatnya yang memberontak. Manakala Raja Kisra telah mati dibunuh oleh anaknya sendiri. 

Pada bulan Jamadilawal tahun ke-8 hijrah, Nabi SAW telah menghantar seorang utusan yang bernama al-Harith bin Umair al-Azadi kepada kerajaan Ghassan yang bernaung di bawah Empayar Rom (Byzantine), juga bermatlamatkan yang sama iaitu menyeru kerajaan Ghassan menerima Islam.

Namun Gabenor Ghassan di Busra yang bernama Syurahbil bin Amru al-Ghassani telah membunuh utusan Nabi SAW tersebut. 

Lokasi pembunuhan ini berlaku di suatu tempat yang bernama Mu’tah, iaitu sebuah perkampungan yang terletak di negeri Syam

Perbuatan Gabenor Busra yang kejam ini tidak dapat dimaafkan oleh Nabi SAW. Lalu Baginda SAW mempersiapkan pasukan tentera yang terdiri daripada 3,000 anggota untuk dihantar ke Mu’tah.

Turut serta dalam pasukan ini ialah Khalid bin al-Walid, Amru bin al-As dan Uthman bin Talhah. Namun begitu, mereka tidak diberi apa-apa jawatan oleh Nabi SAW dalam pasukan ini. 

Sebaliknya Nabi SAW telah melantik anak angkat Baginda SAW, Zaid bin Harithah sebagai panglima perang.  Kedudukan Zaid bin Harithah di kalangan sahabat disebut dalam satu riwayat daripada Saidatina Aishah RA:-
“Kalau Zaid itu dikirimkan kepada satu pasukan tentera, pastilah Nabi SAW akan angkatnya menjadi panglima. 

Kalaulah (Zaid) panjang umurnya, nescaya dialah agaknya orang yang akan diangkat oleh Nabi menjadi khalifahnya.” 
Hadith Riwayat Imam Ahmad
Sebelum tentera ini berangkat, Nabi SAW menyampaikan amanah:-
“Sesungguhnya aku telah melantik Zaid bin Harithah sebagai panglima, sekiranya dia gugur, tempatnya hendaklah diambil alih oleh Ja’afar bin Abi Talib dan sekiranya Ja’afar pula gugur, maka tempatnya hendaklah diambil alih oleh Abdullah bin Rawahah. 

Tetapi sekiranya Abdullah juga gugur maka aku serahkan kepada kamu semua untuk melantik panglima di kalangan kamu”. 
Rasulullah SAW juga berpesan kepada tentera Islam supaya tidak membunuh kaum wanita, kanak-kanak, orang tua, membinasakan tempat tinggal dan rumah ibadat serta merosakkan pohon dan tumbuh-tumbuhan

Setelah amanat disampaikan, maka berangkatlah tentera Islam menuju ke medan Mu’tah

Kisah di Medan Mut'ah

Di Busra, apabila Syurahbil bin Amru al-Ghassani mengetahui kedatangan tentera Islam, dengan segera menghubungi kerajaan Rom untuk meminta bantuan. Raja Rom iaitu Hercules telah mengirim tentera dengan kekuatan anggota seramai seratus ribu bagi membantu Gabenor Busra.  

Raja Hercules  juga mengajak semua kabilah-kabilah arab yang tinggal berdekatan dengan negeri Syam supaya turut bergabung dengan mereka sehingga  menjadikan jumlah keseluruhan tentera ini seramai 200,000 orang. 

Apabila tentera Islam tiba di sebuah tempat yang bernama Mu’an, Zaid bin Harithah telah  menghantar perisik untuk meninjau kekuatan tentera musuh. 

Apabila mengetahui jumlah mereka  7 kali ganda dari tentera Islam, Zaid bin Harithah bermesyuarat dengan beberapa orang panglima sama ada bersedia untuk meneruskan peperangan atau menghantar utusan kepada Nabi SAW untuk memohon tentera tambahan.
  
Dalam perbincangan, Zaid bin Harithah lebih cenderung untuk menghantar utusan kepada Nabi SAW bagi mendapatkan tentera tambahan, tetapi Abdullah bin Rawahah dan majorti sahabat bersetuju untuk meneruskan peperangan dengan alasan tentera yang sedikit boleh mengalahkan tentera yang ramai seperti yang disebut Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 249, maksudnya:-
“Berapa banyak yang pernah terjadi, golongan yang sedikit berjaya menewaskan golongan yang banyak dengan izin Allah; dan Allah sentiasa bersama-sama orang-orang yang sabar ”
Zaid bin Harithah akur dengan kehendak majoriti sahabat, lalu menggerakkan tenteranya untuk mara ke Mu’tah.

Sebelum itu Zaid bin Harithah menyusun strategi, di mana pasukan tentera dipecahkan kepada beberapa bahagian. Sayap kanan dipimpin oleh Qutbah bin Qutadah manakala sayap kanan pula dipimpin Ubadah bin Malik al-Ansari

Terdapat juga pasukan barisan depan dan barisan belakang.  

Apabila semua strategi telah diatur, maka meletuslah pertempuran yang dahsyat di antara kedua pihak, di mana tentera Islam yang seramai 3,000 orang melawan tentera gabungan Arab dan Rom Timur yang jumlahnya seramai 200,000 orang.  

Ditaldirkan Allah SWT, Zaid bin Harithah gugur syahid dalam peperangan ini. Rasulullah SAW yang diberitahu tentang kematian Zaid bin Harithah melalui Jibril AS, terus menangis sehingga teresak esak.  

Seorang sahabat iaitu Saad bin Ubadah telah menyapa Rasulullah SAW kerana sebelum ini Baginda SAW melarang umatnya menangisi kematian secara berlebih-lebihan. 

Lalu dijawab oleh Baginda SAW:-
"Inilah rindu seorang kekasih kepada kekasihnya.”
Maksudnya bukanlah Nabi SAW menangis kerana menolak qada’ dan qadar Allah SWT, tangisannya kerana Baginda SAW terlalu sayang dengan Zaid bin Harithah yang telah syahid. 

Baginda SAW bersabda kepada para sahabat:-  
“Berdoalah kamu untuk Zaid, sekarang dia sedang melangkah ke pintu Firdaus atas usahanya sendiri” 

Dengan kematian Zaid bin Harithah, Jaafar bin Abi Talib seperti yang telah diamanahkan, mengambil alih tugas sebagai panglima perang. Tindakan pertamanya sebaik sahaja mengemudi pasukan tentera, beliau telah membunuh kudanya.

Dengan ketiadaan kuda, maka tiada ruang untuk dia melarikan diri dari medan tempur melainkan hidup dengan kemenangan atau mati sebagai syahid

Jaafar bin Abi Talib memegang pedang di tangan kirinya, manakala di tangan kanan pula memegang  bendera tentera Islam. Tetapi kedua-dua tangganya berjaya di tebas sehingga putus menyebabkan beliau terpaksa mengiggit bendera tentera Islam supaya tidak jatuh.

Sama seperti Zaid bin Harithah , akhirnya Jaafar bin Abi Talib juga turut gugur sebagai syahid di medan perang. 

Apabila Nabi SAW mengetahui kematian Jaafar bin Abi Talib, lantas Baginda SAW mengunjungi rumah keluarganya. 

Nabi SAW berpesan kepada para sahabat:-
“Buatkanlah olehmu makanan untuk keluarga Jaafar kerana mereka sedang menderita kesusahan (kekalutan).''
Tugas memimpin tentera ditersukan pula oleh panglima Abdullah bin Rawahah. Mengikut jejak langkah Jaafar bin Abi TalibAbdullah bin Rawahah telah terjun dari kudanya untuk mengelakkan lari dari medang perang.

Takdir juga menentukan Abdullah bin Rawahah gugur syahid sekaligus menyusuli kedua-dua sahabatnya 

Setelah gugurnya Abdullah bin Rawahah, tentera Islam memilih Khalid bin al-Walid sebagai panglima. 

Khalid al-Walid yang terkenal kepintaran dan kelicikkannya di medan perang telah  menyusun kembali posisi tentera Islam. Pasukan tentera yang berada di posisi kanan ditukarkan ke posisi kiri, demikian juga tentera yang berada di posisi hadapan ditukar ke posisi belakang.

Khalid al-Walid juga memilih sekumpulan tentera berkuda untuk ditempatkan di arah belakang dan arahkan supaya membuat bising sambil menaikkan debu debu pasir ke udara untuk menunjukkan seolah-olah tentera tambahan telah tiba untuk membantu tentera yang sedia ada. 

Taktik ini berjaya melunturkan semangat tentera musuh, apabila menyangkakan tentera Islam benar benar telah menerima bantuan dari Madinah, apatah lagi melihat wajah-wajah tentera Islam yang mereka hadapi sudah berubah.  

Selain itu Khalid al-Walid juga telah memperdayakan pihak musuh dengan taktik menyerang kemudian berundur, seolah-olah memancing tentera-tentera gabungan Ghassan dan Rom untuk pergi ke satu lokasi yang berhampiran dengan Madinah.

Taktik Khalid al-Walid ini telah membimbangkan tentera musuh kerana menyangka Khalid al-Walid cuba membawa tentera mereka ke satu lokasi untuk dijerat.  Kerisauan ini menyebabkan tentera gabungan Arab Ghassan dan Rom mengambil keputusan untuk menghentikan peperangan. 


Hakikatnya Khalid al-Walid sebenarnya mahu mengundurkan semua tentera Islam supaya kembali ke Madinah. Dengan kembalinya semua tentera Islam ke Madinah maka berakhirlah peperangan Mu’tah

Orang Islam mencemuh tindakan Khalid al-Walid.

Kepulangan tentera Islam ke Madinah, menimbulkan salah faham di kalangan sahabat kerana menyangkakan mereka lari dari medan perang. Di kalangan sahabat ada yang membaling pasir dan batu kepada tentera Islam sambil menjerit:-

“Kamu pengecut, kamu meninggalkan medan perjuangan”. 

Cemuhan dan tuduhan ini memberi tekanan yang amat dahsyat kepada tentera Islam kerana melarikan diri dari medan perang merupakan salah satu daripada dosa besar yang diharamkan oleh Allah SWT.

Salah seorang tentera yang merasa pedih dengan cemuhan ini ialah Hisyam bin Salamah. Beliau sanggup tidak keluar solat berjemaah di masjid kerana tidak tahan dengan suara suara sindiran kepadanya. 

Nabi SAW yang mengetahui perasaan tentera-tentera Islam akibat cemuhan itu lantas membela mereka. 

Baginda SAW bersabda:-
“Mereka itu bukan orang yang al-Farrar (melarikan diri kerana takut kepada musuh). 

Tetapi mereka adalah angkatan al-Karrar (tentera yang berundur dengan teratur untuk kembali lagi ke medan perang)”.
Hakikatnya Islam menang dalam peperangan ini.

Buktinya tentera gabungan Arab dan Rom yang berjumlah 200,000 tidak mampu menghancurkan tentera Islam yang jumlahnya seramai 3,000 orang.

Di  pihak tentera Islam, jumlah kematian hanya melibatkan 12 orang sahaja iaitu Zaid bin Harithah, Ja’afar bin Abi Talib, Abdullah bin Rawahah, Mas’ud bin al-Aswad, Wahab bin Saad, Abbad bin Qais, al-Harith bin Nu’man, Suraqah bin Amir, Abu Kulaib bin Amir, Jabir bin Amir, Amir bin Saad dan Amer bin Saad.

Semasa berundur,  tentera Islam sempat melarikan jenazah Jaafar bin Abi Talib untuk dibawa pulang ke Madinah.

Diriwayatkan jenazah Jaafar bin Abi Talib terbelah dua, terdapat 90 liang luka bekas tikaman, manakala kedua-dua tangannya kudung sehingga Nabi SAW menyifatkan kedudukan Jaafar bin Abi Talib sebagai burung yang bersayap dua di syurga.

Manakala di pihak tentera kafir, jumlah yang terbunuh dianggarkan beratus-ratus orang. Selain itu, salah seorang pemimpin pasukan tentera mereka iaitu Farwa bin Amr al-Juzami telah berpaling tadah dan memeluk Islam. 

Tetapi dia telah ditangkap oleh tentera Rom dan dibunuh. 

Peperangan ini sebenarnya satu tamparan hebat kepada orang-orang kafir dan memberi kesan kepada peperangan berikutnya iaitu peperangan Tabuk yang berlaku pada tahun ke-9 Hijrah.

Wallahua'lam