Kisah Nabi Nuh AS - Bermulanya Dari Patung Orang Soleh

Ketika kesesatan mula tersebar dalam kehidupan masyarakat, tidak ada seorang pun yang tidak terikut melainkan seorang lelaki yang duduk dalam kesedihan. 


Beliau satu-satunya manusia yang masih berpegang dengan wasiat Nabi Adam AS bahawa syaitan itu musuh bagi anak cucu Baginda AS seluruhnya.

Lelaki tersebut ialah Nuh bin Lamuk yang sentiasa beriman kepada Allah SWT. 

Nabi Nuh AS lahir setelah Nabi Adam AS wafat yang jaraknya 10 abad (1000 tahun).
Sebuah hadith riwayat al-Hakim, al-Tabari dan lain-lain, daripada Abu Umamah RA, beliau berkata:-


“Ada seseorang bertanya:-



‘Ya Rasulullah, apakah Adam itu seorang Nabi?’

Jawab Baginda:-

‘Ya.’

Lelaki itu bertanya lagi:-

‘Berapa lama jarak antara dirinya dengan Nabi Nuh AS?’

Baginda menjawab:-

’10 abad.’”
Secara umumnya dapat dikatakan bahawa Nabi Nuh AS diutus Allah Taala ketika manusia menyembah berhala dan taghut serta tenggelam dalam kesesatan dan kekafiran, kemudian Allah Taala mengutusnya sebagai rahmat bagi umat manusia.

Diriwayatkan daripada Ibn Abbas RA, beliau berkata:-
“Jarak umur antara Nabi Adam AS dan Nabi Nuh AS ialah 10 abad. Semua orang pada masa itu memeluk Islam.”
Dalam kitab Qasas al-Anbiya', Imam Ibn Kathir RH menyebut:-
“Setelah berabad-abad kejayaan Islam, keadaan berubah menjadi sebaliknya iaitu ketika manusia beralih kepada penyembahan berhala.”
Penyebab perubahan itu seperti yang terdapat dalam hadith riwayat Imam al-Bukhari daripada Ibn Abbas RA tentang pentafsiran ayat Allah SWT dalam surah Nuh, ayat 23 yang bermaksud:-
“Jangan sekali-kali kamu meninggalkan (penyembahan) Tuhan-Tuhan kamu dan jangan sesekali kamu meninggalkan (penyembahan) Wad, Suwa', Yaghuth, Ya'uq dan Nasra.”
Ibn Abbas RA mengatakan:-
“Nama-nama tersebut ialah nama orang soleh daripada kaum Nabi Nuh AS. 



Ketika mereka wafat, syaitan membisikkan kepada kaumnya agar mereka membuat patung orang soleh antara mereka dan memberikan nama-nama patung-patung mengikut nama-nama orang soleh tersebut. 


Mereka patuh pada bisikan syaitan itu, pada mulanya patung-patung tersebut tidak disembah, namun setelah mereka meninggal dunia, maka patung-patung itu akhirnya disembah.”
Ibn Abbas RA berkata lagi:-
“Berhala-berhala yang ada dalam kalangan kaum Nuh AS akhirnya muncul di tengah-tengah bangsa Arab.”

Buat Patung agar Lebih Bermotivasi Beribadat?


Ibn Jarir dalam tafsirnya, Jami' al-Bayan menyebut:-
“Merekalah orang soleh yang hidup antara waktu Adam dan Nuh. Mereka mempunyai ramai pengikut setia. Selepas mereka meninggal, para pengikutnya berbincang, ada yang mencadangkan:-



‘Bagaimana jika kita membuat patung-patung mereka kerana dengan demikian, kita akan lebih kuat beribadat jika teringat kepadanya.’


Maka pera pengikut mereka membuat patung-patung tersebut, apabila para pengikut orang soleh tadi telah meninggal dunia dan berganti dengan generasi baru, iblis datang menggoncang hati mereka. Iblis berkata:-



‘Jika kamu bersedia menyembah mereka, maka hujan akan turun kepadamu.’


Mereka pun bertekad menyembah patung-patung tersebut.”
Menurut Dr. Abdul Hamid al-Tahir dalam kitab beliau Qasas al-Anbiya' li al-Atfal, Nabi Adam AS meninggal dunia setelah mengajar anak cucunya agar hanya menyembah Allah SWT dan tidak mensyirikkan-Nya dengan sesuatu pun. 

Baginda AS wafat setelah menceritakan kepada mereka mengenai kisahnya dengan iblis agar diambil pengajaran dan peringatan, malah ditegaskan kepada mereka bahawa iblis itu musuh bagi mereka.

Hari berganti bulan, bulan berganti tahun hinggalah anak cucu Nabi Adam AS bertambah jumlahnya. Kebanyakan mereka telah melupakan nasihat dan wasiat yang telah disampaikan oleh Nabi Adam AS.

Hanya segelintir sahaja yang masih ingat dan mengikuti ajaran yang dibawa oleh Nabi Adam AS.


Akan tetapi, setiap masa pasti ada orang soleh yang sangat dicintai masyarakat dan penduduk sekitarnya kerana mereka dapat memberi petunjuk dan menunjukkan jalan menuju Allah SWT.

Apabila orang soleh itu meninggal dunia, penduduk tempatan membuat patung khusus untuknya dengan tujuan agar mereka selalu dapat mengingat dan tidak lupa untuk meniru jejak hidup orang soleh tersebut.

Antara orang soleh tersebut terdapat lima orang yang terkenal iaitu Wad, Suwa', Yaghut, Ya'uq dan Nasra. Ketika mereka meninggal dunia, masyarakat pun segera membuat patung orang soleh itu untuk mereka.

Agenda Licik Iblis


Seiring dengan berlalunya waktu dan masa yang cukup lama sehingga 10 abad atau 1000 tahun sejak kewafatan Nabi Adam AS, mereka telah melupakan nasihat dan wasiat Nabi Adam AS.

Mereka lebih suka tunduk kepada kemahuan dan pujukan iblis sehingga mereka kufur kepada Allah SWT dan tidak mahu menyembah-Nya. 

Di sinilah iblis mendapat peluang untuk menjalankan misinya untuk menyesatkan anak cucu Nabi Adam AS yang sangat dibencinya dan menyebabkan ia mendapat kutukan Allah SWT seterusnya mengeluarkannya daripada rahmat Allah SWT.

Lima buah patung orang soleh tadi terkubur di bawah tanah. Selanjutnya, apa yang iblis cuba lakukan?

Iblis telah menjelma menjadi seorang lelaki kemudian dia bertanya kepada penduduk-penduduk:-

“Apa yang kamu semua sembah?”

Para penduduk menjawab:-

“Kami tidak menyembah apa-apa pun.”

Iblis mula mencadangkan sesuatu agar anak cucu Nabi Adam AS menjadi sesat:-

“Adakah kamu semua mahu aku tunjukkan Tuhan yang menjadi sembahan nenek moyang kamu semua?”

“Ya, kami mahu.”


Ibarat lembu dicucuk hidungnya, para penduduk tersebut mengikut tanpa banyak bantahan. Kelihatan agenda iblis begitu mudah dilaksanakan.

Iblis pun menunjukkan lima buah patung kepada mereka, lalu iblis berkata kepada mereka:-
“Inilah Tuhan yang telah menjadi sembahan nenek moyang kamu semua.”
Kata-kata iblis ini terus dipercayai oleh mereka. Bermulalah sembahan terhadap patung yang pertama dalam sejarah manusia. Mereka menyembah lima buah patung tersebut iaitu Wad, Suwa', Yaghuth, Ya'uq dan Nasra.

Mereka tidak menyedari bahawa patung-patung tersebut tidak dapat mendengar dan tidak pula dapat berkata-kata. Patung-patung tersebut hanyalah batu-batu yang mereka buat sendiri.

Begitulah liciknya iblis laknatullah!

Masih Ada Lagi yang Beriman


Melihat keadaan masyarakat yang menyembah berhala, Nabi Nuh AS berasa gelisah, lalu Baginda AS bertafakur tentang alam sekelilingnya yang menakjubkan. Kemudian Baginda AS membuat kesimpulan bahawa alam yang elok ini pasti ada Tuhan yang Maha Agung yang mencipta.

Selain memikirkan keindahan dan keagungan Allah Taala. Nabi Nuh AS juga selalu teringat tentang wasiat dan nasihat bapanya berkata:-
“Jangan kamu menyembah, kecuali kepada Allah SWT.”
Baginda AS juga ingat akan nasihat bapanya:-
“Iblis ialah musuh bagimu.”
Ketika itu tiada seorang pun di muka bumi ini yang beriman kepada Allah SWT kecuali hanya seorang sahaja iaitu Nabi Nuh AS.

Allah SWT berfirman dalam surah an-Najm, ayat 52 yang bermaksud:-
“Dan kaum Nabi Nuh sebelum itu (telah juga dibinasakan). Sesungguhnya mereka adalah orang yang sangat zalim dan melampaui batas.”
Wallahua'lam