Syukuri Pemberi Nikmat

Nikmat makanan dan minuman merupakan nikmat besar yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada hamba-hamba-Nya saban hari, tetapi tidak ramai manusia yang mensyukurinya. Malah ramai yang ingkar setelah Allah SWT memberikan nikmat ini. 


Mungkin juga disebabkan nikmat ini dikecapi dengan mudah, kita lupa untuk bersyukur kepada pemberinya iaitu Allah SWT.

Sesungguhnya nikmat makanan dan minuman yang melimpah ruah ini kadangkala mnyebabkan manusia semakin jauh dengan Allah SWT

Dalam al-Quran dinyatakan beberapa kaum yang mengingkari perintah Allah SWT setelah diberikan nikmat-nikmat ini, antaranya:-

Kisah Pertama

Dalam ayat ke-61 surah al-Baqarah, Allah SWT menceritakan kisah bangsa Bani Israil daripada kaum Nabi Musa AS yang mengingkari nikmat makanan dan minuman yang diberikan oleh Allah SWT.

Kata para ahli tafsir apabila kaum Bani Israil disesatkan dalam perjalanan mereka di bumi al-Tih selama 40 tahun disebabkan keingkaran mereka untuk memasuki bumi Baitul Maqdis, mereka meminta kepada Nabi Musa AS makanan daripada Allah SWT.

Maka Allah SWT memberikan mereka dua jenis makanan dan minuman yang cukup istimewa diberi nama ‘al-Man’ dan ‘al-Salwa’. 

Kata sebahagian para mufassir, al-Man ialah sejenis minuman seperti susu dan sebahagiannya mengatakan ianya madu dan al-Salwa pula merupakan sejenis burung yang cukup istimewa dan lazat dagingnya.

Kedua-dua nikmat ini Allah SWT berikan kepada kaum Nabi Musa AS tanpa perlu bersusah payah untuk bekerja mahupun mencarinya. 

Namun mereka mahukan lebih daripada itu dengan sifat kemalasan dan kekufuran mereka sedangkan mereka mengetahui bahawa kurniaan ‘al-Man’ dan ‘al-Salwa’ itu adalah makanan yang terbaik daripada Allah SWT.

Kisah Kedua

Dalam ayat ke-249, surah al-Baqarah pula Allah SWT menceritakan perihal tentera Talut yang pada asalnya mempunyai bilangan yang cukup banyak namun apabila mereka melalui sebatang sungai maka Talut memerintahkan mereka supaya tidak meminum air sungai itu kecuali dengan satu cedokan tangan sahaja. 

Namun sebahagian besar mereka telah minum air tersebut dengan sepuas-puasnya lalu mereka menjadi lemah disebabkan oleh keingkaran mereka terhadap perintah Allah SWT.

Namun tentera Talut yang mengikut arahan Allah SWT menjadi semakin kuat disebabkan oleh keimanan dan juga kepatuhan mereka terhadap perintah-Nya.

Jangan Kufur Nikmat

Sesungguhnya pemberian makanan dan minuman ini merupakan salah satu jalan untuk kita mempertingkatkan rasa syukur dan terima kasih kepada Allah SWT. Malah nikmat-nikmat ini mampu menjadikan kita hamba yang lebih tunduk dan patuh kepada segala arahan-Nya. 

Allah SWT berfirman yang bermaksud:-
“Wahai orang yang beriman, makanlah dengan rezeki yang baik yang telah Kami kurniakan kepada kamu dan bersyukurlah kamu kepada Allah jika benar-benar kamu ingin memperhambakan diri kepada-Nya.” 
Surah al-Baqarah 02:172
Terdapat beberapa perkara yang menyebabkan seseorang itu termasuk dalam golongan mereka yang tidak mensyukuri nikmat makanan dan minuman yang diberikan oleh Allah SWT.

Tindakan-tindakan ini menjerumuskan mereka kepada dosa yang dilarang oleh-Nya. 

Ini adalah antara perkara-perkara yang perlu diambil perhatian:-

#1 Tidak berlebihan mahupun melakukan pembaziran ketika makan dan minum

Firman Allah SWT yang bermaksud:-
“Dan makanlah dan minumlah namun jangan berlebihan, sesungguhnya Allah tidak menyukai mereka yang berlebihan.” 
Surah al-A'raf 07:31

#2 Memilih makanan dan minuman yang halal, baik dan tiada keraguan padanya

Firman Allah SWT yang bermaksud:-
“Wahai sekalian manusia, makanlah apa sahaja yang halal dan baik di atas muka bumi.” 
Surah al-Baqarah 02:168

Nabi Muhammad SAW juga menyuruh kita meninggalkan sesuatu yang meragukan sama ada makanan tersebut halal ataupun tidak. 

Sabda Baginda SAW yang bermaksud:-
“Tinggalkan apa sahaja yang meragukan bagi kamu kepada perkara yang tidak meragukan.” 
Hadith Riwayat at-Tirmizi

#3 Tidak mengharamkan sesuatu yang dihalalkan oleh Allah SWT

Segala yang tidak dinyatakan pengharamannya oleh al-Quran, sunnah Nabi SAW mahupun ijmak hukumnya adalah halal dan mengharamkannya merupakan suatu dosa.

Dalam perkara ini, Allah SWT telah berfirman yang bermaksud:-
“Wahai orang yang beriman, janganlah kamu mengharamkan sesuatu yang baik yang telah dihalalkan kepada kamu, dan janganlah kamu melampaui batas kerana Allah tidak menyukai mereka yang melampaui batas.” 
Surah al-Ma'idah 04:87
Wallahua'lam