Wanita Sabar Adalah Wanita Cantik

Kecantikan seorang wanita itu tidak terletak pada penampilan lahiriah sahaja. Namun, ada juga yang mengaitkan kecantikan seorang wanita dengan kesabarannya

Sedar atau tidak, sabar itu ialah petua kecantikan bagi seorang wanita.

Tidak percaya?

Petua ini bukan lahir daripada kata-kata manusia, tetapi Allah SWT yang Maha Agung dan Maha Sempurna yang memuji sifat ini dan mengaitkannya dengan nilai keindahan dan kecantikan. 

Firman Allah SWT yang mafhumnya:-
“Maka sabar itu indah.”
Surah Yusuf 12:18 dan 12:13
“Maka sabarlah dengan sabar yang indah (terbaik)”
Surah Ma’arij 70:5
Manakala dalam sebuah hadith Rasulullah SAW menyatakan yang bermaksud:-
“Sabar itu cahaya yang memancar terang (diya’).”
Hadith Riwayat Muslim
Alangkah cantiknya cahaya yang bersinar terang. Dengan cahaya yang terang juga kecantikan dapat dilihat dengan jelas. Hari ini, ramai orang ingin menjadi cantik dan dilihat cantik. Buktinya, pengusaha kosmetik sudah pun ramai yang menjadi jutawan.

Diwar-warkan tentang kulit yang putih mulus tanpa cela dan kedutan, badan yang ramping seksi atau gebu menggiurkan, rambut warna warni atau biji mata hitam boleh bertukar jadi warna hazel dan sebagainya adalah penunjuk kecantikan.

Secara jujur, mari kita nilai kembali sudah berapa ramai jelitawan yang kita temui tetapi sebaik melihat akhlaknya yang sombong, panas baran, tiada budi bahasa, suka berdendam serta tidak suka memaafkan, maka detik itu jugalah luntur nilai kecantikan fizikal yang dimiliki

Tiada apa yang hendak dihairankan atau dipuji lagi dengan kecantikan penampilan luarannya, malah makin seronok orang berkata:-

“Harap muka saja cantik, hati dia Tuhan saja yang tahu betapa hodohnya.”

Sebaliknya pula, pasti kita juga telah bertemu dengan insan yang sederhana sahaja rupa parasnya, sudah tua, berkedut di sana sini tetapi daripada kehidupan yang telah dilaluinya, terbukti dia seorang yang sabar menerima sebarang bentuk ujian daripada Allah SWT.

Dia memaafkan orang yang menyakitinya, dia mengawal dirinya saat tertekan dan marah, maka ketika itu dia akan kelihatan sangat tenang, indah dan cantik bukan setakat untuk ditatapi. Bahkan cantik untuk diteladani, tenang untuk didampingi dan indah untuk dihayati.

Kaitan Sabar dan Cantik


Sabar dari segi bahasa bermaksud menahan atau mencegah

Dari segi istilah syarak, sabar ialah menahan diri untuk tetap teguh melakukan ketaatan dan meninggalkan larangan Allah SWT serta berlapang dada menerima ketentuan Allah SWT dalam hidup ini.


Ibn Taimiyah RH dalam pengamatannya mengklasifikasikan orang yang sabar kepada tiga golongan:-

#1 Ahli sabar dan ahli taqwa


Orang yang seiring kesabaran dan ketakwaannya. Golongannya ini menyedari bahawa kesabaran ialah buah dari ketaqwaan.

#2 Ahli amalan orang bertaqwa tetapi bukan ahli sabar


Golongan yang rajin melakukan amalan-amalan kebaikan tetapi amat nipis nilai kesabarannya

Imam Ibn al-Jawzi berkata bahawa beliau pernah melihat orang tua yang rajin beribadah, tetapi tatkala cucu yang disayanginya meninggal dunia (ketika itu dia telah berusia 80 tahun), ahli ibadah tersebut menangis, meratap dan menjerit-jerit meminta supaya nyawa cucunya dikembalikan semula.

#3 Ahli sabar tetapi langsung tidak bertaqwa


Ini ialah sabar yang hina, tidak termasuk dalam pengertian sabar menurut syarak. 

Dia daripada golongan pelaku maksiat dan dosa yang amat sabar melakukan dosa walaupun berisiko tinggi, bakal dikenakan hukuman yang berat seperti pencuri, perompak atau pembunuh yang sanggup mengharungi kesusahan dengan begitu sabar semata-mata untuk mencapai tujuan jahatnya.

Oleh itu. sabar yang sempurna semestinya disertakan ketaqwaan yang jitu kepada Allah SWT.


Medan Sabar


Medan atau lapangan sabar sangatlah luas, ramai ilmuwan Islam silam yang telah menjelaskannya. Namun di sini, digabungkan pandangan-pandangan yang dipetik daripada Syeikh Muhammad Solleh al-Munajid:-

Medan Pertama


Sabar atas ujian kehidupan dunia

Medan Kedua


Sabar atas keinginan nafsu, Ibn al-Qayyim menjelaskan bahawa kategori ini meliputi empat perkara:-
  • Jangan mudah menyerah dan terpedaya dengan nafsu
  • Tidak larut dan berlebihan dalam memenuhi kehendak nafsu dan dunia
  • Bersabar menunaikan hak Allah SWT dengan nafsu yang boleh disalurkan menurut syariat
  • Tidak menggunakan nafsu untuk berbuat maksiat

Medan Ketiga


Sabar untuk tidak menginginkan apa-apa yang dimiliki oleh orang lain

Medan Keempat


Sabar dalam menunaikan ketaatan

Sebelum melakukan ketaatan dan amal soleh, sabar diperlukan untuk kita menimba ilmu agar amalan kita sahih dan diterima Allah SWT. Semasa melakukannya pula, sabar diperlukan agar amalan kita lakukan sebaik mungkin

Selepas melakukan amalan, sekali kesabaran diperlukan supaya boleh terus istiqamah, terpelihara keikhlasan niat dan terhindar daripada penyakit-penyakit hati yang boleh merosakkan amalan yang telah kita lakukan.

Medan Kelima


Sabar meninggalkan maksiat

Medan Keenam


Sabar dalam menunaikan tanggungjawab, contohnya tanggungjawab berdakwah

Medan Ketujuh


Sabar atas ancaman dan kesusahan yang datang daripada manusia yang buruk perilakunya.

              Wallahua'lam